Date: Khamis, Oktober 18, 2018

Majlis Menghargai Jasa Bakti Pesara JKR Malaysia telah diadakan pada 17 Oktober 2018 di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya. Majlis yang dihadiri oleh YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya dan diiringi oleh YBrs. Tuan Ir. Kamaluddin bin Haji Abdul Rashid, Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Pakar) dan YBrs. Puan Mastura binti Shaari, Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Menghargai Jasa Bakti Warga JKR Malaysia tahun 2018 serta pegawai – pegawai kanan Jabatan Kerja Raya.

Majlis ini diadakan bagi menghargai khidmat bakti dan sumbangan yang dicurahkan oleh seramai 377 warga kerja JKR yang telah dan bakal bersara sepanjang tempoh perkhidmatan. Daripada jumlah tersebut, seramai 260 orang berkesempatan untuk bersama-sama memeriahkan majlis.

Dalam ucapan penghargaan oleh YBhg. Dato’ Sri KPKR, beliau mengucapkan setinggi – tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua tetamu yang dirai atas segala pengorbanan, sumbangan dan khidmat bakti yang dicurahkan sepanjang perkhidmatan. Beliau mengharapkan pesara JKR akan terus menyumbang khidmat kepada negara dengan menjadi pemangkin kepada pelbagai usaha Kerajaan dalam melaksanakan program-program tertentu.

Seluruh warga JKR mengucapkan setinggi penghargaan dan jutaan terima kasih di atas jasa dan bakti para pesara sepanjang tempoh berkhidmat. Selamat Bersara dan Selamat Maju Jaya dalam apa jua bidang yang diceburi kelak. Semoga segala urusan akan dipermudahkan dan senantiasa dikurniakan kesihatan yang berpanjangan dan bahagia di samping keluarga tersayang.