Date: Isnin, Januari 28, 2019

Pada 25 Januari 2019, Unit Building Information Modeling (BIM), Bahagian Pengurusan Projek Kompleks, Cawangan Perancangan Aset Bersepadu, telah menerima kunjungan delegasi  yang diketuai oleh En. Muhammad Fooad Bin Abd Razak yang merupakan pensyarah Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Sri Gading bersama 5 orang pelajar daripada jurusan Diploma dalam bidang Teknologi Kejuruteraan Pembinaan pengkhususan Building Information Modeling (BIM).

Ketua Unit BIM, Encik Muhammad Khairi Bin Sulaiman amat berbesar hati menerima kunjungan ini dan meluangkan masa untuk berkongsi pengalaman dan khidmat nasihat teknikal. Untuk makluman, pihak KKTM berhasrat untuk meneroka kerjasama berpotensi dalam bidang Teknologi Pembinaan khususnya Building Information Modeling bersama pihak JKR yang merupakan peneraju dalam industri pembinaan negara.

Bagi tujuan memperkukuhkan kerjasama di antara Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Jabatan Kerja Raya Malaysia, pihak KKTM bercadang menawarkan khidmat dalam membangunkan templat perisian BIM dan komponen BIM yang akan digunakan dalam projek bangunan. 

Program ini disusuli dengan sesi soal jawab dan perbincangan mengenai cadangan dan strategi pelaksanaan BIM di dalam organisasi KKTM. Program ini telah membuka laluan dalam mewujudkan kerjasama yang lebih erat di antara kedua-dua organisasi pada masa hadapan bagi menjayakan pelaksanaan BIM di peringkat nasional.