Date: Khamis, Mei 2, 2019

Seminar Route to Professional Engineer (P.E) by Board of Engineers Malaysia (BEM) - Zon Timur merupakan sebahagian daripada inisiatif dan program Urus Setia Disiplin Awam JKR bagi menggalakkan jurutera awam di Jabatan Kerja Raya Malaysia berdaftar sebagai jurutera professional. Seminar ini telah berlangsung dengan jayanya pada 29 April 2019 (Isnin) bertempat di Dewan Serbaguna, Wisma Negeri, JKR Terengganu, Kuala Terengganu, Terengganu. Seminar ini telah dirasmikan oleh YBrs. Ir. Hj. Mohd Noor Azudin bin Mansor, Timbalan Ketua Disiplin Awam, JKR Malaysia dan turut dihadiri oleh Ir. Yusuf bin Abd.Ghani, Timbalan Pengarah (Pembangunan), JKR Terengganu dan pegawai - pegawai kanan JKR Ibu Pejabat dan Negeri.

Penganjuran seminar ini merupakan anjuran Urus Setia Disiplin Awam dengan kerjasama JKR Terengganu dan disokong oleh Board of Engineers Malaysia (BEM). Seminar ini telah dihadiri oleh 70 orang peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai (Jurutera Awam) dari pelbagai peringkat gred dari kawasan zon timur (Terengganu, Kelantan dan Pahang) dan agensi berkaitan yang masih belum memiliki status jurutera profesional.

Majlis perasmian dimulakan dengan Ucapan Aluan oleh Timbalan Pengarah (Pembangunan), JKR Terengganu, YBrs. Ir. Yusuf bin Abd.Ghani, seterusnya Ucapan Perasmian oleh Timbalan Ketua Disiplin Awam, JKR Malaysia, YBrs. Ir. Hj. Mohd Noor Azudin bin Mansor. Seminar kemudian diteruskan dengan taklimat oleh penceramah-penceramah jemputan dari Board of Engineers Malaysia (BEM) yang diwakili oleh Ir. Suhaizad bin Hj.Sulaiman (BEM Secretary) dan Ir. Mohd Noramil bin Mohd Daril (BEM Executive Director).

Seminar ini bertujuan menggalakkan pegawai JKR terutama jurutera awam untuk memiliki kelayakan jurutera profesional bertauliah (Profesional Engineer (P.E)) yang juga merupakan keperluan utama jabatan terutama didalam kemajuan kerjaya pegawai. Seminar ini memberi penekanan kepada perkara-perkara berikut :

  1. Memberi panduan dan pendedahan kepada pegawai JKR untuk memiliki kelayakan profesional bertauliah (Profesional Engineer (PE)) untuk kemajuan kerjaya.
  1. Memberi panduan untuk memahami prosedur permohonan pendaftaran jurutera profesional melalui Board of Engineers Malaysia (BEM).
  1. Memberi panduan dan kaedah penyediaan laporan teknikal dan pengalaman kerja untuk persediaan menghadapi Professional Assesment Examination (PAE) dan Professional Competency Examination (PCE).

Terima kasih diucapkan kepada JKR Terengganu, Board of Engineers Malaysia (BEM), penceramah, para peserta dan semua pihak yang terlibat sepanjang penganjuran seminar ini.

 

Disediakan :

URUS SETIA DISIPLIN AWAM JKR

Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR)

02 Mei 2019