Selaras dengan pemerkasaan Arahan Perbendaharaan (AP) 182 bagi jabatan teknik, pewujudan projek telah ditetapkan sebagai satu bidang fungsi dan tanggungjawab jabatan teknik melalui pegawai kader di Kementerian/ Agensi. Pada peringkat pewujudan projek (termasuk pewujudan aset dan program), semakan ACAT (Acquisition Categorization) beserta Gerbang Nilai 0 (GN 0) dan Kajian Pengurusan Nilai Strategik (VMS) merupakan inisiatif-inisiatif utama mekanisme “Value at Entry” yang telah dipersetujui melalui Pemerkasaan AP 182 berkenaan.
Semua kementerian dan agensi telah menghadiri mesyuarat ini yang diadakan pada 11 hingga 13 November 2019 yang lalu bertempat di Dewan Anggerik, Kompleks Ibu Pejabat JKR Negeri Selangor, Shah Alam. Objektif utama mesyuarat ini diadakan adalah bertujuan merancang dan membangunkan konteks pemakaian inisiatif CPAB berkenaan di peringkat pewujudan projek melibatkan semakan ACAT, GN 0 dan Kajian VMS serta lain-lain inisiatif amalan terbaik yang relevan. Mesyuarat ini juga mengambil kira input daripada wakil Pegawai kader JKR dari agensi pusat (MEA) dan Kementerian Pelanggan Utama (Bahagian Pembangunan) serta pegawai di agensi teknikal seperti JPS bagi memastikan keberkesanan pemakaiannya dalam projek-projek RMK-12 kelak.
Ucapan pembukaan bagi mesyuarat ini telah dilakukan oleh Pengarah Kanan CPAB, Ir. Mohd Rahim bin Hj. Kawangit manakala ucapan penutup mesyuarat telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Kamaluddin bin Haji Abdul Rashid, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) yang sedang menanggung kerja jawatan Ketua Pengarah Kerja Raya di Jabatan Kerja Raya Malaysia.
- 1861 bacaan