Date: Jumaat, Julai 10, 2020

Aku Janji Sifar Potholes Tahun 2020 yang berlangsung pada 3 Julai 2020 merupakan kesinambungan daripada program zero potholes yang mula diperkenalkan pada tahun 2016. Program kali ini merupakan inisiatif Kementerian bersama Jabatan Kerja Raya bersama enam (6) Syarikat Syarikat Konsesi bagi Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan untuk memperkukuhkan komitmen KKR terhadap penyampaian perkhidmatan penyenggaraan jalan di negara kita. Selaras dengan salah satu Teras 2 Kementerian iaitu Penyenggaraan Infrastruktur Jalan yang cekap dan berkesan supaya dapat digunakan secara optimum.

Sehubungan itu, pengurusan asset tidak hanya melibatkan pihak Syarikat Konsesi sahaja tetapi Syarikat Utiliti juga tidak terkecuali di mana Syarikat Utiliti juga adalah penyumbang kepada kerosakan jalan dan jalan berlubang. Selain itu pihak stakeholders yang terdiri daripada agensi Kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan, NGO dan penggiat industri, malah  sebagai rakyat dan pengguna jalan raya juga mempunyai peranan bersama dalam memantau keadaan jalanraya.

Oleh yang demikian, pihak Kementerian dan JKR juga merancang untuk mengadakan program yang sama dengan syarikat-syarikat utiliti dan Pihak Berkuasa Tempatan dalam menyampaikan mesej penting ini. Terdapat 14 medium aduan rasmi JKR seperti;

  1. Aduan Jalan KKR
  2.  Web Aduan JKR Care
  3.  Emel Komunikasi
  4. Facebook
  5. Twitter
  6.  Sistem Pengurusan Aduan Awam 
  7.  Pesanan Ringkas (SMS)
  8. Surat/Faks
  9. Biro Pengaduan Awam
  10. Lisan
  11. Telefon
  12. Akhbar
  13. MyGCC
  14. RakyatResponz

Di bawah program sifar potholes, kerja-kerja penampalan jalan berlubang akan dilaksanakan dalam tempoh masa 24 jam (secara sementara) daripada penemuan ataupun aduan kerosakan dan dalam tempoh 3 hari bagi pembaikan kekal selari dengan  Piagam Pelanggan Jabatan Kerja Raya dan kontrak penyenggaraan jalan persekutuan (FRM) pihak konsesi.

Perlaksanaan dan pemantauan yang effisien amat penting bagi menjayakan program Sifar Potholes dan juga keberkesanan penyenggaraan jalan raya. Untuk makluman, JKR telah membangunkan satu Sistem Aplikasi Pemantauan Potholes (ASaPP) bagi memantau Potholes secara atas talian di tapak melalui penggunaan aplikasi di telefon bimbit, tablet dan Komputer. Aplikasi ini boleh digunakan oleh pegawai-pegawai JKR dan juga syarikat Konsesi bagi tujuan pemantauan kewujudan Potholes pada jajaran-jajaran jalan persekutuan.

Sistem pemantauan melalui aplikasi ini dapat memperkemaskan sistem kerja pemantauan Potholes di jalanraya persekutuan agar kerja-kerja pembaikan kerosakan jalan dapat dilaksanakan dengan segera dan perancangan kerja penyenggaraan yang menyeluruh dan teratur dapat dibuat.

Secara keseluruhannya, Program Aku Janji Zero Potholes ini dapat memberikan impak yang positif kepada sasaran Zero atau Sifar Potholes agar jaminan terhadap  keselamatan pengguna jalan dapat diberikan.