Jabatan Kerja Raya Malaysia telah menganjurkan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Kerja Raya Malaysia Tahun 2020 pada 6 April 2021 (Selasa) jam 10.00 pagi melalui aplikasi ‘Youtube’ yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia. Penganjuran Majlis APC JKR Malaysia Tahun 2020 ini buat julung-julung kalinya dilaksanakan secara maya kesan daripada Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia.
Tema "Pendigitalan Organisasi Melonjak Kecemerlangan Prestasi" telah dipilih sebagai tema Majlis APC JKR Malaysia pada kali ini. Pemilihan tema ini bertepatan dengan perkembangan dunia digital dan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan selaras dengan hasrat Kerajaan dalam Pendigitalan Perkhidmatan Awam atau e-Government yang memberi fokus kepada pendigitalan penyampaian perkhidmatan.
Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat telah dipertanggungjawabkan untuk menguruskan Majlis APC JKR Malaysia Tahun 2020 yang dilaksanakan sepenuhnya secara maya. Majlis yang menyatukan seluruh warga JKR Malaysia ini adalah sebagai tanda penghargaan kepada seramai 690 orang penerima APC JKR Malaysia Tahun 2020 yang terdiri dari pelbagai jawatan dan gred yang telah memberikan perkhidmatan yang cemerlang sepanjang tahun 2020. Para penerima APC akan menerima Sijil APC dan Sijil Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bernilai RM1,000.00.
Tahniah buat semua penerima APC JKR 2020. Semoga kecemerlangan anda pada hari ini menjadi inspirasi buat warga JKR untuk terus memberikan khidmat yang terbaik pada masa akan datang dalam memacu dan memperkasa organisasi ke tahap yang tertinggi.
Video penuh APC JKR 2020 (link is external)
- 1822 bacaan