Date: Jumaat, September 2, 2022

2 September 2022 – Majlis Penyerahan Sijil Sistem Pengurusan Anti Rasuah (SPAR) dan penyerahan sijil EKSA serta Pelancaran EKSA Do-It-Yourself (DIY) telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Seri’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman.

Majlis bermula dengan kunjungan hormat oleh delegasi SIRIM yang diketuai oleh YBrs. Puan Hajjah Nur Fadhilah Binti Muhammad, Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International Sdn. Bhd. ke Pejabat Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, di Aras 33, Menara Kerja Raya dengan disambut oleh Ketua Pengarah Kerja Raya. Sesi kunjungan hormat dimulakan dengan menandatangani buku pelawat dan disusuli dengan pemberian cenderahati.

Dengan sesi kunjungan hormat ini diharapkan dapat mengukuhkan lagi hubungan baik antara kedua-dua belah pihak.

Majlis diteruskan dengan penyampaian Sijil Sistem Pengurusan Anti Rasuah (SPAR)    ISO 37001:2016 daripada YBrs. Puan Hajjah Nur Fadhilah Binti Muhammad, Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International Sdn. Bhd. kepada Ketua Pengarah Kerja Raya sebagai simbolik kepada Pensijilan yang telah diterima. Ini diikuti dengan penyampaian sijil SPAR daripada KPKR kepada dua puluh dua (22) Pengarah Kanan dan Pengarah Cawangan serta dua (2) Pengarah Negeri iaitu Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kerja Raya turut melancarkan EKSA Do-It-Yourself (DIY) JKR Malaysia di mana JKR Malaysia telah menerima mandat daripada pihak MAMPU untuk melaksanakan EKSA DIY kepada JKR Negeri dan Wilayah, JKR Daerah serta JKR KETENGAH dan KESEDAR. Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil EKSA oleh Ketua Pengarah Kerja Raya kepada enam (6) Penghulu Bangunan iaitu Blok G, Blok A, Blok B, Blok D, Blok E dan Menara PJD yang telah mencapai tahap CEMERLANG dalam pensijilan semula EKSA pada Jun lalu.

Semoga dengan adanya pensijilan ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah (SPAR) dan EKSA DIY akan mempertingkatkan lagi integriti, kualiti mahupun produktiviti sekaligus memenuhi aspirasi rakyat masa kini serta berupaya menghalang persepsi negatif terhadap JKR pada masa hadapan.