Date: Selasa, Oktober 25, 2022

Mesyuarat Penyelarasan Program Memorandum Persefahaman (MOU) dalam Bidang Building Information Modelling (BIM) Di Antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan sembilan (9) Universiti Awam (UA) telah diadakan pada 21 Oktober 2022 di Bilik Berlian, Menara Kerja Raya (Blok G), Ibu Pejabat JKR dan dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Seri Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Pengurusan Projek Kompleks Cawangan Perancangan Aset Bersepadu, Ir Hajah Atikah bt Zakaria@Ya, Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat, YBhg. Dato' Ir. Haji Masri b Baharuddin dan beberapa para pegawai kanan JKR.

 

Universiti Awam yang terlibat iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) diwakili oleh Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor, Dekan, Pengarah dan para pensyarah.

 

MoU yang telah dimerterai pada 7 September 2020 ini merupakan salah satu program kolaboratif JKR dengan pihak akademik di bawah inisiatif Adaptasi BIM Pelan Strategik JKR 2016-2020 Tema 3 yang dikendalikan bersama oleh Cawangan Perancangan Aset Bersepadu (CPAB) dan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE).

 

Secara dasarnya, tujuan kerjasama melalui MoU ini diadakan adalah untuk mengukuhkan jalinan kerjasama di antara agensi teknikal dan pihak akademik terutamanya dalam usaha memperluaskan skop potensi penggunaan BIM dalam kitar hayat pengurusan aset menyeluruh merangkumi aspek kajian, pembangunan, penyelidikan dan latihan.

 

Sebanyak 31 penyelidikan dan 46 program bukan penyelidikan telah dan sedang dijalankan dalam program MoU sepanjang tempoh dua (2) tahun. Di antara faedah yang diperolehi oleh semua pihak melalui kerjasama ini ialah:

  1. Penambahbaikan Garis Panduan serta Manual Proses Kerja Fasa Reka Bentuk dan Pembinaan BIM JKR sedia ada
  2. Penambahbaikan teknik pembangunan model reka bentuk dalam projek JKR
  3. Peningkatan tahap kecekapan pengurusan aset dan fasiliti melalui penggunaan data digital
  4. Pengiktirafan kepakaran JKR di peringkat nasional
  5. Penghasilan komponen yang dapat digunakan oleh JKR dan pihak industri
  6. Peningkatan pengetahuan asas dan amalan terbaik di kalangan pelajar tentang pelaksanaan BIM khususnya teknik penyediaan model dan komponen mengikut keperluan industri
  7. Penyediaan dan penambahbaikan silibus pembelajaran BIM di peringkat universiti
  8. Penyediaan modal insan berkualiti dan berdaya saing yang mampu meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan dalam alam pekerjaaan

 

Secara umumnya, kerjasama ini dapat memberi peluang kepada semua pihak untuk mengeksplorasi bidang BIM dalam usaha membantu meningkatkan tahap keberkesanan sistem penyampaian projek dan memacu produktiviti industri pembinaan di era Revolusi Perindustrian 4.0. Diharapkan agar hubungan kerjasama ini dapat diperkembangkan lagi pada masa akan datang menerusi kepelbagaian program akademik, penyelidikan dan pembangunan modal insan, bukan sahaja tertumpu dalam bidang BIM, malah diperluaskan dalam bidang kejuruteraan dan teknologi yang lain.

 

Mesyuarat yang dikendalikan oleh Unit BIM CPAB ini diakhiri dengan sesi penyerahan sijil penghargaan dan cenderahati JKR kepada wakil Universiti Awam serta sesi bergambar.