Majlis Menandatangani Perjanjian Pelesenan Pengkomersialan Inovasi antara Kerajaan Malaysia menerusi Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) dan tiga (3) Pemegang Lesen, iaitu Syarikat Gerak Tekun Sdn. Bhd., Kurnia Engineering and Construction Sdn. Bhd. dan Fulle Technik Sdn. Bhd. telah diadakan pada 16 Mei 2024 di Menara Kerja Raya, Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur.
Majlis ini telah menyaksikan acara menandatangani Perjanjian Pelesenan antara YBhg. Dato' Ir. Hj. Badioezaman bin Ab Khalik (Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) menjalankan tugas Ketua Pengarah Kerja Raya), dan Encik Muhammad bin Zulkifli (Pengurus Syarikat Gerak Tekun Sdn. Bhd.), Encik Mohd Khairi bin Mohd Dahalan (Pengurus Syarikat Kurnia Engineering and Construction Sdn. Bhd.) dan Encik Azahah bin Aris (Pengurus Syarikat Fulle Technik Sdn. Bhd.).
Turut hadir sama bagi menyaksikan majlis menandatangani Perjanjian Pelesenan ini adalah YBrs. Tuan Mohd Sakeri bin Abdul Kadir (Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Pengurusan) Kementerian Kerja Raya Malaysia), YBrs. Ir. Zulkifli bin Abdul Rashad (Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar)), YBrs. Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman (Pengarah Kanan, Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE)), dan Ir. Rozita binti Md Senapi (Pengarah Pembinaan Pengurusan Projek Khas Jalan (PPKJ), Cawangan Jalan).
Perjanjian Pelesenan merupakan satu bentuk kontrak yang dibuat secara bertulis berdasarkan kepada terma rujukan yang dipersetujui antara pihak-pihak yang berkontrak yang bertujuan untuk mengkomersialkan reka cipta yang telah dilindungi.
JKR telah memberikan hak eksklusif harta inteleknya kepada Pemegang Lesen untuk dieksploitasi dengan cara mengilang, mengguna dan menjual dalam territory dan tempoh yang telah ditetapkan. Syarikat Gerak Tekun Sdn. Bhd diberi hak untuk mengkomersialkan produk inovasi Tongue and Groove Shaped Concrete Drain selama tiga (3) tahun secara Bukan Eksklusif. Manakala, Syarikat Kurnia Engineering and Construction Sdn. Bhd. diberi hak untuk mengkomersialkan Median Night Reflector Post V2.0, Syarikat Fulle Technik Sdn. Bhd. diberi hak untuk mengkomersialkan dua (2) produk inovasi iaitu Universal Mud Grip Tyre dan Cut and Compact, dalam tempoh lima (5) tahun secara Eksklusif.
Diharapkan agar penglibatan dan kerjasama yang padu di antara syarikat Pemegang Lesen, Pereka Cipta JKR dan CREaTE, mampu merealisasikan hasrat Jabatan dalam menghasilkan produk-produk inovasi yang berdaya saing, dan seterusnya dapat dikomersialkan agar dapat digunapakai secara meluas.
- 1104 bacaan