Pada 24 Mei 2024 (Jumaat), satu Lawatan Penanda Aras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) ke Menara Kerja Raya (Blok G), Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya Malaysia telah berlangsung dengan jayanya. Lawatan kerja yang dihadiri seramai lapan (6) pegawai HCTM diketuai oleh Dr. Nora Aini Binti Ramly ini bertujuan untuk melihat serta mendalami pendekatan secara langsung kejayaan pelaksanaan KKP di Jabatan Kerja Raya Malaysia selaku Agensi Perkhidmatan Awam Terbaik KKP di peringkat negara pada tahun 2022 yang telah diiktiraf oleh Majlis Negara Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP).
Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan (JKK) Premis Menara Kerja Raya (Blok G), YBhg. Dato’ Ir. Ts. Hj. Masri Bin Baharuddin telah mempengerusikan satu sesi taklimat yang telah disampaikan oleh Lt. Kol Bersekutu (PA) Ir. Haji Abdul Rani bin Harun, selaku Setiausaha JKK Premis Menara Kerja Raya (Blok G). Sesi taklimat perkongsian ini dapat memberi faedah dan pendedahan secara holistik berkenaan pembudayaan amalan KKP di tempat kerja mahupun di tapak projek. Lawatan Fizikal ke Aras 21 dan 31 juga telah diadakan bagi melihat secara fizikal pelaksanaan KKP di Menara Kerja Raya (Blok G).
Semoga lawatan dan perkongsian serta pertukaran idea antara pegawai JKR Malaysia dan pegawai HCTM ini akan meningkatkan nilai tambah dan kerjasama yang erat dalam amalan KKP Negara di samping memantapkan lagi pengurusan dalam Perkhidmatan Awam Negara khususnya di JKR Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
- 919 bacaan