Date: Selasa, Julai 2, 2024

Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), Ibu Pejabat JKR Malaysia telah menganjurkan program Roadshow Integrated Slope Management System (ISMAS) dan Pra-pelancaran Buku Statistik Cerun Jalan Persekutuan Malaysia yang diadakan pada 27 Jun 2024. Program ini melibatkan lebih daripada 100 orang pegawai yang terdiri daripada:

  • Kementerian Kerja Raya
  • Jabatan Kerja Raya Negeri / Wilayah / Daerah / Jajahan / Unit Khas
  • JKR Sabah
  • JKR Sarawak
  • Syarikat Konsesi Penyelenggaraan Cerun, Pintas Utama Sendirian Berhad (PUSB)

Program Roadshow ini telah dirasmikan oleh YBrs. Ir. Mohd Shaifuddin Bin Abdul Razak selaku Pengarah CKC. ISMAS atau Sistem Pengurusan Cerun Bersepadu telah dibangunkan bagi tujuan pengurusan cerun yang cekap dan merupakan salah satu teras strategik di dalam Pelan Induk Cerun Negara (PICN) 2009-2023.

Majlis diteruskan dengan sesi tayangan montaj dan Pra-pelancaran Buku Statistik Cerun Jalan Persekutuan Malaysia yang disempurnakan oleh Pengarah CKC dan diiringi oleh YBhg. Dato’ Ir. Marhalim bin Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif PUSB. Majlis disusuli dengan sesi penyerahan Buku Statistik Cerun Jalan Persekutuan kepada semua wakil JKR Negeri yang hadir.

Buku statistik cerun ini merupakan hasil inovasi daripada kerja pengumpulan data melalui Kontrak Jangkamasa Panjang Projek Penyelenggaraan Cerun di Jalan Persekutuan Semenanjung Malaysia bersama PUSB di CKC dan disepadukan dengan data cerun Jalan Persekutuan negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Buku ini mengandungi inventori cerun mengikut laluan setiap negeri, maklumat peta taburan kejadian tanah runtuh, Jalan Persekutuan yang telah disenaraikan sebagai Jalan kritikal dan pengenalan kepada sistem ISMAS. Buku ini bertujuan digunakan sebagai rujukan bagi JKR Negeri dan Daerah mengenai inventori cerun untuk aktiviti pemeriksaan dan penyelenggaraan rutin.

Dokumen buku statistik cerun ini boleh diakses dan dimuat turun melalui laman sesawang JKR https://jpedia.jkr.gov.my (link is external) di J-Pedia seperti berikut:

J-Pedia → Wiki Notes → Cawangan Kejuruteraan Cerun → Terbitan Cawangan Kejuruteraan Cerun

PERKONGSIAN ILMU

  1. Sesi Perkongsian Ilmu oleh Ir. Elya Shuhaira binti Shafie, Jurutera Awam Kanan daripada Bahagian Penilaian dan Pemetaan Bahaya Cerun, CKC yang bertajuk “Integrated Slope Management System (ISMAS)”.
  2. Sesi Perkongsian Ilmu oleh Pintas Utama Sdn. Bhd. yang bertajuk “Pengumpulan Data & Inventori Cerun”.
  3. Sesi Perkongsian Ilmu oleh En. Azhar bin Ahmad Nazri P.Geol, Pegawai Geosains daripada Bahagian Penilaian dan Pemetaan Bahaya Cerun, CKC yang bertajuk “Pengumpulan Data Cerun Batuan”.
  4. Sesi Perkongsian Ilmu oleh Ts. Muhammad Thaqif bin Mohamad Nor, Jurutera Awam daripada Bahagian Penilaian dan Pemetaan Bahaya Cerun, CKC yang bertajuk “ISMAS Now and Future”.

Di penghujung majlis diadakan sesi soal jawab dan dirumuskan oleh Ir. Eow Thein Ewe, Jurutera Awam Penguasa Kanan, Ketua Bahagian Penilaian Penilaian dan Pemetaan bahaya Cerun.

Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada semua warga JKR dan KKR yang telah menyertai dan bersama-sama menjayakan program Roadshow ini.