Date: Khamis, September 19, 2024

Cawangan Perancangan Aset Bersepadu (CPAB) telah menerima kunjungan daripada pasukan teknikal Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) masing-masing pada 13 September dan 18 September 2024. Bagi tujuan lawatan tersebut, satu sesi perkongsian telah dilaksanakan melalui pembentangan pelaksanaan BIM di JKR yang telah diketuai oleh Ir. Ts. Mohd Faiz bin Shapiai dan Ts. Zainariah binti Zainal Abidin. 

Lawatan ini merupakan salah satu inisiatif kedua-dua pihak untuk mendapatkan pendedahan berkenaan inisiatif dan status pelaksanaan BIM di JKR Malaysia meliputi proses pembangunan, cabaran, isu serta impak semasa dan selepas pelaksanaan projek. Selain itu, program seperti ini juga mampu mewujudkan kerjasama strategik di antara kedua-dua pihak terutamanya dalam pembangunan kompetensi BIM.

Lanjutan itu, lawatan tapak ke projek Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur juga turut diadakan bersama pihak UUM bagi memberi pendedahan tentang pelaksanaan BIM dalam fasa pembinaan. Sesi taklimat projek dan lawatan ini diketuai oleh Ir. Hurolaine binti Che Ab Aziz selaku Wakil Pegawai Penguasa (WPP) Utama projek ini.

Diharapkan agar program ini dapat memberi gambaran yang lebih jelas berkaitan pelaksanaan BIM di JKR serta mewujudkan satu kerjasama strategik di antara pihak MARA, UUM dan JKR Malaysia khususnya bagi menyahut aspirasi Kerajaan dalam memperluaskan penggunaan BIM dalam projek Kerajaan dan swasta.