Date: Jumaat, Disember 20, 2024

BANDAR BARU SALAK TINGGI, SELANGOR – Pada 19 Disember 2024, Jabatan Kerja Raya telah berjaya menyiapkan projek Pusat Keselamatan Makanan Negara atau National Centre For Food Safety (NCFS) dan telah menyerahkan kepada Kementerian pelanggannya iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) .

Majlis disempurnakan dengan kehadiran YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya ; YB Datuk Seri Dr. Haji Dzulkefly bin Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia; YBhg Dato’ Ir. Ibrahim bin Esa,Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Bangunan; pegawai kanan kedua-dua kementerian dan pegawai kanan JKR Malaysia.

Projek ini menggunakan kaedah pelaksanaan secara Reka dan Bina yang mana pejabat seliaan tapak bagi projek ini ialah Pasukan Projek Persekutuan JKR Selangor dan Pengarah JKR Selangor sebagai Pengarah Projek. Projek ini telah dimulakan pada 24 April 2018 dan kini telah disiapkan sepenuhnya pada 13 Disember 2024.

Sistem Binaan Berindustri (IBS) telah digunakan sebagai ⁠kaedah pembinaan projek ini yang mempunyai skor IBS melebihi 70% bagi menjamin proses pembinaan yang lebih efisien dan berkualiti tinggi. Ia menepati dasar kerajaan bagi meningkatkan penggunaan IBS dalam industri pembinaan dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh manual terutamanya tenaga buruh asing serta meningkatkan ketepatan serta kualiti struktur bangunan yang menyokong kelestarian serta pengurangan kos. Projek ini turut mengaplikasikan elemen kecekapan tenaga (Energy Efficiency) sekaligus menyokong kelestarian dan pembangunan mampan (sustainable development).

Penyerahan projek ini bukan sahaja menepati KPI JKR, iaitu sekurang-kurangnya tiga elemen dalam satu (4-in-1), malah telah melebihi sasaran yang ditetapkan dengan pencapaian berikut:

i)  Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) dan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC);
ii)  Penyiapan Lukisan Siap Bina(As-Built Drawing);
iii)  Operation & Maintenance (O&M) Manual; dan
iv)  Dokumen Penyerahan KKM (33 SenaraiSemak).
 

Selain itu, projek ini merupakan cabang saintifik kepada Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia yang akan menjana data saintifik untuk diaplikasikan sepenuhnya seperti :-

  1. Pembangunan dasar;
  2. Pengurusan risiko;
  3. Pembangunan standard makanan; 
  4. Penggubalan perundangan makanan; dan
  5. Memantapkan kawalan keselamatan makanan negara.

JKR merakamkan penghargaan kepada Kementerian Kerja Raya, Kementerian Kesihatan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak secara langsung dalam memberikan bantuan, komitmen dan kerjasama erat sepanjang pelaksanaan projek ini. Kerjasama yang erat dari peringkat perancangan hingga penyelesaian projek ini menunjukkan bahawa semua pihak mampu mencapai kejayaan yang cemerlang apabila bekerja sebagai satu pasukan. Pencapaian ini menjadi dorongan untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik, bagi memastikan rakyat Malaysia mendapat makanan yang selamat, berkualiti, dan mematuhi standard yang ditetapkan.

Link Montaj projek NCFS: https://drive.google.com/file/d/1N1YLSwaHUfi_7tVCdFoeuKFgieZg0bh3/view?usp=sharing (link is external)

#IamJKR #KitaJKR #JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat