Date: Isnin, Disember 23, 2024

Pada 5 Disember 2024, Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (CREaTE) dengan penuh rasa hormat dan penghargaan menyambut kunjungan delegasi daripada Universitas Bung Hatta, Indonesia. Delegasi ini diketuai oleh Dr. Zulherman, Wakil Rektor III, bersama 3 wakil universiti dan 11 mahasiswa yang cemerlang di universiti telah dipilih menyertai lawatan ini dengan harapan untuk memperkukuhkan hubungan akademik dan penyelidikan antarabangsa. Kehadiran mereka disambut mesra oleh Ir. Dr. Abdul Murad bin Zainal Abidin, wakil Pengarah Kanan CREaTE, bersama Datuk Sr Ts. Nasir Saari, Ketua Unit Makmal Penyelidikan Ukur Bahan selaku urus setia program libat urus ini dan ketua-ketua unit makmal penyelidikan dari Bahagian Inovasi,Penyelidikan dan Pembangunan Kejuruteraan, CREaTE yang lain.

Program dimulakan dengan sesi libat urus yang membincangkan peluang kerjasama akademik antara Universitas Bung Hatta dan CREaTE. Kedua-dua pihak menzahirkan harapan untuk memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam masa terdekat, sekali gus membuka laluan kepada pelbagai kolaborasi dalam penyelidikan, pembangunan teknologi, dan inovasi kejuruteraan. CREaTE turut mengambil peluang ini untuk mempromosikan fasiliti makmal penyelidikannya melalui lawatan dan penerangan tentang projek-projek penyelidikan terkini yang dilaksanakan oleh CREaTE.

Lawatan ini bukan sahaja mencerminkan semangat kerjasama antarabangsa yang erat, malah mempromosikan peranan CREaTE sebagai platform penting untuk menyatukan kepakaran, inovasi, dan aspirasi dalam memacu pembangunan sektor kejuruteraan yang mampan. CREaTE amat mengalu-alukan sesi libat urus dan kunjungan seperti ini demi menjalin hubungan yang memberi manfaat kepada semua pihak.

#IamJKR #KitaJKR #JKRsynergy

#JasaKepadaRakyat