Pada 28 April 2025 (Isnin), telah berlangsung Majlis Penyerahan Projek Pemasangan Sistem Fotovolta Suria (Grid Connected PV System) di Bangunan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah (ILKKM SAS), Perak. Majlis yang diadakan di bawah struktur Solar Parkir Bas ILKKM ini dilaksanakan secara penyerahan 3 dalam 1, meliputi:
- Penyerahan Sijil Penyerahan Projek;
- Penyerahan Sijil Siap Kerja (CPC); dan
- Penyerahan Sijil Net Energy Metering (NEM).
Majlis ini telah disempurnakan oleh YBrs. Fakriah binti Mat Hashim, Pengarah ILKKM Sultan Azlan Shah dan disaksikan oleh YBrs. Ir. Zularifin bin Sejo, Jurutera Elektrik Penguasa Kanan Cawangan Kejuruteraan Elektrik (CKE), Ibu Pejabat JKR Malaysia yang menjalankan tugas Pengarah Perkhidmatan Pakar CKE, Ibu Pejabat JKR Malaysia. Turut hadir memeriahkan majlis, YBrs. Encik Hirman Miraj bin Mohd Noor, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Tenaga, Kementerian Ekonomi Malaysia dan YBrs. Ts. Mohd Idham bin Mohammad, Timbalan Pengarah Bahagian Operasi dan Pasaran, Sustainable Energy Development Authority (SEDA) Malaysia.
Projek ini telah dilaksanakan secara fast-track dan berjaya disiapkan dalam tempoh 8 bulan. Menggunakan konsep Solar Parkir Bas, sistem ini mengoptimumkan ruang sedia ada dengan struktur berbumbung solar yang bukan sahaja menyediakan perlindungan kepada bas dan kenderaan, malah turut menjana tenaga elektrik hijau. Pendekatan ini mempertingkatkan kecekapan ruang serta mempromosikan imej ILKKM sebagai institusi latihan kesihatan yang progresif dan mampan.
Sistem fotovolta suria ini mempunyai kapasiti keseluruhan sebanyak 717.75 kWp. Dengan kapasiti tersebut, ILKKM dijangka mampu mencapai penjimatan bil elektrik sekitar RM320,660 setahun. Di samping itu, pemasangan ini berupaya mengurangkan penghasilan karbon dioksida (CO₂) sebanyak kira-kira 758 tan setahun, bersamaan dengan kesan penanaman lebih 24,000 batang pokok setiap tahun.
Projek ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk mengurangkan kos operasi bangunan kerajaan melalui penggunaan tenaga boleh baharu dan menyokong matlamat negara dalam mengurangkan jejak karbon. Ia turut memperkukuh pelaksanaan Dasar Teknologi Hijau Negara dan aspirasi Malaysia ke arah karbon sifar bersih menjelang 2050.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pasukan projek, pegawai-pegawai dari SEDA Malaysia, serta Kementerian Ekonomi dan ILKKM atas komitmen tinggi dan kerjasama yang erat dalam memastikan kejayaan projek ini.
Sekalung tahniah diucapkan atas kejayaan pemasangan sistem suria fotovolta tersambung grid di ILKKM Sultan Azlan Shah — satu lagi langkah ke arah kampus latihan yang lebih lestari dan berdaya saing!
#IamJKR #KitaJKR #JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat
- 41 bacaan