Majlis Penyerahan Multi Storey Block, Hospital Seberang Jaya telah berlangsung di auditorium Multi Storey Block, Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang majlis diadakan pada 2 Mei 2025 jam 9.30 pagi.
Penyerahan projek ini telah disempurnakan melalui acara menandatangani Sijil Penyerahan dan Penerimaan Projek oleh YBrs. Ir. Suzzana binti Punari, Pegawai Penguasa, Pasukan Projek Khas 1 dan YBhg. Dato' Sri Suriani binti Dato' Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan.
Majlis ini disaksikan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya, serta YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad Menteri Kesihatan Malaysia.
Majlis diteruskan dengan penyerahan replika kunci oleh YBhg. Dato’ Bahador bin A. Rahman, Pengarah Urusan SBAR Bina Sdn. Bhd. selaku kontraktor utama, kepada YBrs. Ir. Suzzana binti Punari, Pegawai Penguasa, Pasukan Projek Khas 1 dan seterusnya kepada YBhg. Dato' Sri Suriani binti Dato' Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan sebagai simbolik penyerahan bangunan.
Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Wira Ir. Roslan bin Ismail, Ketua Pengarah Kerja Raya dan YBhg. Dato' Zainal Alhakab bin Seman, Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Pengurusan) Kementerian Kerja Raya, serta wakil-wakil pengurusan tertinggi dari Kementerian Kerja Raya, JKR Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri, Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan perunding, pasukan kontraktor yang dilantik.
Projek yang bermula pada 16 Mei 2016 ini telah berjaya disiapkan pada 12 April 2025 dan dilaksanakan secara Konvensional Perunding di bawah kawal selia Pasukan Projek Khas 1, JKR Malaysia.
Skop penyiapan projek HSJ ini merangkumi pembinaan Blok Utama Hospital 10 tingkat berkapasiti 316 katil, blok bangunan mekanikal dan elektrikal, bangunan sokongan (ancillary building) seperti rumah pam dan tangki sedut, rumah sampah klinikal, rumah sampah domestik dan juga kerja infrastruktur serta kerja luar bangunan. Pelaksanaan pembinaan projek ini menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri atau Industrialised Building System (IBS) dengan memperolehi penilaian skor IBS melebihi 70%.
Terdapat 7 perkhidmatan utama di dalam bangunan ini merangkumi Perkhidmatan Pesakit Luar, Perkhidmatan Pesakit Dalam, Diagnosis dan Rawatan, Perkhidmatan Sokongan Perubatan, Perkhidmatan Bukan Perubatan, Unit Pentadbiran dan juga Latihan dan Pendidikan.
Projek Multi Storey Block ini telah berjaya disiapkan dengan pencapaian 9 dalam 1 yang merangkumi kriteria berikut:
- CPC dikeluarkan di dalam tempoh kontrak;
- CCC diperolehi sebelum CPC dikeluarkan;
- Lukisan Siap Bina disediakan beserta dengan CPC;
- Kumulatif jumlah jam tanpa kemalangan adalah sebanyak 2,520,352 jam;
- Dokumen Manual Operasi dan Penyelenggaraan disiapkan beserta CPC;
- Dokumen Serahan kepada pelanggan lengkap;
- Penjimatan Kos Kontrak;
- Ulasan sesi pemeriksaan bilik ke bilik disiapkan sepenuhnya sebelum CPC; dan
- Penyiapan Coffee Table Book.
Tahniah diucapkan kepada pihak kontraktor yang telah berjaya menyiapkan projek ini dan menyerahkannya kepada pihak pelanggan. Diharapkan pihak kontraktor dapat mengekalkan prestasi cemerlang dalam melaksanakan tanggungjawab tempoh tanggungan kecacatan selama 12 bulan.
Sebagai agensi teknikal utama dalam melaksanakan projek-projek Kerajaan, JKR Malaysia melaksanakan penyeliaan secara holistik melalui:
- Sistem Kawal dan Lapor (SKALA); dan
- Sistem Pengurusan Bersepadu (SPB) JKR yang mematuhi piawaian Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa (ISO) dalam sektor pembinaan.
JKR Malaysia sentiasa komited untuk melaksanakan projek dengan mengamalkan pengurusan projek terbaik serta profesionalisme yang tinggi.
#IamJKR #KitaJKR #JKRsynergy
#JasaKepadaRakyat
- 1239 bacaan