Date: Jumaat, November 11, 2022

BANGI, 10 NOVEMBER 2022 - Majlis Sambutan Hari Integriti 2022 peringkat Kementerian Kerja Raya (KKR) telah diadakan bertujuan untuk memupuk kesedaran dalam kalangan penjawat awam dan masyarakat umum tentang pentingnya kita mengamalkan nilai-nilai murni dan integriti secara berterusan serta bebas daripada amalan rasuah.

Majlis anjuran Unit Integriti, KKR, Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Lembaga Jurutera Malaysia (LJM), Lembaga Arkitek Malaysia (LAM) serta Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (LJBM) ini disempurnakan perasmiannya oleh YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir Bin Hj Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha KKR bertempat di Dewan Tan Sri M. Yusoff, LLM.

Turut hadir pada majlis ini ialah YBhg. Tan Sri Dato' Sri Haji Azam bin Baki, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), YBhg. Dato' Seri Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato' Ir. Mohd Shuhaimi bin Hassan, Ketua Pengarah LLM, YBhg. Datuk Ir. Ahmad `Asri bin Abdul Hamid, Ketua Eksekutif CIDB, YBhg. Dato' Tan Kang Sai, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, SPRM dan YBrs. Tuan Seng Chuan a/l Din Wan, Pengarah Unit Integriti KKR.

Berbeza dengan sambutan pada tahun-tahun sebelumnya, sambutan tahun ini dilaksanakan sebagai Sambutan Bulan Integriti KKR Tahun 2022 dengan pengisian aktiviti-aktiviti yang telah pun bermula pada 20 Oktober sehingga 15 November 2022 oleh KKR dan semua agensi di bawah KKR yang meliputi Pelancaran Kod Etika Kontraktor oleh CIDB, Pertandingan Video Integriti oleh JKR, Kuiz Integriti oleh LLM, Webinar Integriti oleh LJM, LAM dan LJBM serta Wacana Integriti serta Hari Bertemu Pelanggan oleh KKR.

Pada tahun ini, sambutan Hari dan Bulan Integriti Nasional adalah bertemakan “Integriti Teras Keluarga Malaysia”.  5 November telah diisytiharkan sebagai Hari Integriti Nasional sejak penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) pada April 2004 dan mulai tahun 2005, Hari Integriti Nasional (HIN) disambut setiap tahun sepanjang bulan November.

Pada majlis ini, turut diadakan pemeteraian Nota Kerjasama antara KKR dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang merupakan penambahbaikan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) Ke Arah Pembanterasan Rasuah antara KKR dan SPRM yang telah dimeterai pada 1 Julai 2013.

Nota Kerjasama ini akan menjadi titik kesinambungan kepada MoU sebelum ini untuk membanteras jenayah rasuah serta memastikan semua perancangan dan hasil yang terbit dari usahasama ini bakal direkod, dipantau dan dikaji pada setiap tahun dan akan dinilai pencapaiannya. Ia akan turut menjamin penyaluran maklumat-maklumat berkualiti terutamanya bagi tindakan dalaman KKR atau SPRM sekiranya ada unsur jenayah rasuah.

Nota Kerjasama ini juga menumpukan kepada hal-hal peroperasian siasatan, usaha-usaha pencegahan dan pendidikan di antara kedua-dua pihak. Selain itu, Nota Kerjasama ini akan turut dijadikan satu dokumen penting untuk kedua-dua pihak berkongsi kepakaran dalam perihal siasatan dan kejuruteraan.