Date: Khamis, Oktober 28, 2021

Unit BIM, Bahagian Pengurusan Projek Kompleks, Cawangan Perancangan Aset Bersepadu JKR dengan kerjasama ProJKRM dan sokongan Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi (CREaTE) telah mengadakan Program JKR BIM Day Edisi Keempat pada 26-27 Oktober 2021 secara maya melalui platform Virtualive. Program ini telah mendapat sambutan menggalakkan dengan berjaya merekodkan lebih 700 peserta yang terdiri daripada kalangan pegawai JKR, agensi kerajaan, pihak swasta dan ahli akademik di kedua-dua hari tersebut.

Program dimulakan dengan ucapan kata aluan daripada mantan Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Awam dan Struktur, Ir Dr Lim Char Ching dan diikuti dengan ucapan perasmian program serta pelancaran 6 dokumen rujukan BIM JKR oleh YB Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Haji Fadillah Haji Yusof.

Sebanyak 28 sesi pembentangan telah berlangsung, merangkumi 2 ucaptama yang disampaikan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg Dato' Ir Haji Mohamad Zulkefly Sulaiman dan mantan Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg Dato' Sri Ir Dr Judin Abdul Karim serta 26 sesi pembentangan yang disampaikan oleh para pegawai JKR, wakil industri dan ahli akademik melalui sesi Knowledge Arena dan Project Showcase.

Selain sesi pembentangan, turut terdapat pameran poster kajian, bahan rujukan, produk dan teknologi baharu BIM melalui reruai maya dan platform virtual yang disediakan oleh pempamer dan Jawatankuasa Penganjur.

Anugerah BIM JKR Malaysia juga telah diperkenalkan pada tahun ini dengan mempertandingkan 3 kategori individu (BIM Manager, BIM Coordinator dan BIM Modeller) dan 3 kategori kumpulan mengikut kaedah pelaksanaan projek (Projek Konvensional Dalaman, Projek Konvensional Perunding serta Projek Reka dan Bina).

 

Diharapkan program ini dapat meningkatkan tahap pengetahuan, kesedaran dan kesediaan para pegawai JKR, pihak swasta, agensi-agensi kerajaan dan ahli akademik terhadap adaptasi teknologi BIM dalam pelaksanaan projek pembinaan. Selain itu, program ini juga dilihat dapat mewujudkan peluang, rangkaian hubungan kerjasama dan kolaborasi di antara semua pihak berkepentingan dalam usaha mempelbagaikan idea potensi peluasan penggunaan dan integrasi BIM dengan teknologi Revolusi Perindustrian Keempat.

Link Montaj Perasmian