Date: Jumaat, Disember 22, 2017

Pada 21 Disember 2017, Unit Building Information Modelling (BIM) Bahagian Pengurusan Projek Kompleks, Cawangan Perancangan Aset Bersepadu, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah menerima kunjungan delegasi Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) yang diketuai oleh Sr Dr. Zainal bin A Majeed, Pengarah JUPEM Selangor. Pengarah Bahagian Pengurusan Projek Kompleks, Encik Mohd Rahim bin Hj Kawangit amat berbesar hati menerima kunjungan ini dan meluangkan masa untuk memulakan program dengan ucapan kata aluan.

Lawatan delegasi seramai 26 orang pegawai ini merupakan salah satu aktiviti JUPEM dalam usaha meningkatkan kompetensi BIM di kalangan para pegawai di samping mengenalpasti penggunaan BIM yang mampu menambahbaik proses kerja sedia ada di jabatan tersebut. Bagi merealisasikan hasrat di atas, Unit BIM telah memberikan taklimat ringkas mengenai pengenalan BIM, pelaksanaan BIM di peringkat JKR dan nasional serta demonstrasi aplikasi perisian-perisian BIM yang digunakan oleh JKR.

Program ini disusuli dengan sesi soal jawab dan perbincangan mengenai cadangan kerjasama dalam bidang BIM di antara JKR dan JUPEM. Kedua-dua pihak juga bertukar idea dan pandangan mengenai cadangan memperluaskan skop penggunaan BIM khususnya yang melibatkan pengukuran hakmilik strata bangunan dan penggunaan data pelan ukur. Sesungguhnya program ini telah membuka laluan dalam mewujudkan kerjasama yang lebih erat di antara kedua-dua jabatan pada masa hadapan bagi menjayakan pelaksanaan BIM di peringkat nasional.