Date: Khamis, November 17, 2016
16 November 2016 - Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan  bin Md Taha telah mengadakan lawatan ke JKR Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan sebagai sebahagian daripada program Lawatan Dato’ Sri KPKR ke  ‘1 Negeri, 1 Daerah’ di seluruh negara pada tahun ini. 
 
Program lawatan ini bertujuan untuk beramah mesra dan mengeratkan hubungan, di samping untuk menyampaikan amanat kepada warga JKR. Program bermula sekitar jam 3.45 petang dengan ketibaan YBhg. Dato’ Sri KPKR di Seri Menanti Resort, Kuala Pilah diiringi oleh YBrs.Sr Zailan bin Lagiman,Pegawai Khas KPKR, YM Ir. Raja Fairol Farouk bin Raja Abd Assiss, Pegawai Khas KPKR dan Nik Muhammad Hafiz bin Nik Ab Rashid, Pegawai Khas KPKR. Rombongan Dato’ Sri KPKR telah disambut oleh Tn.Syed Mohd Hanafiah B Syed Ibrahim, Ketua Jurutera Elektrik Negeri mewakili Pengarah Kerja Raya Negeri Sembilan, Tn. Hj. Rosman bin Kamarudin, Jurutera Daerah Kuala Pilah dan juga seluruh kakitangan JKR Daerah Kuala Pilah.
 
Program diteruskan dengan Taklimat ringkas aktiviti/projek di JKR Kuala Pilah yang telah disampaikan oleh Tn. Jurutera Daerah Kuala Pilah dan seterusnya penyampaian amanat kepada kakitangan JKR Kuala Pilah oleh YBhg. Dato’ Sri KPKR. Antara amanat yang disampaikan adalah:
 
-Semangat Teamwork di kalangan warga JKR termasuklah di peringkat kumpulan sokongan perlu dipupuk agar kegemilangan JKR dapat dikembalikan semula. 
 
-Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya telah menetapkan KPI kepada JKR supaya mulai tahun 2017 :
 
1) Sekurang-kurangnya 50% dari jumlah projek yang siap mestilah siap bersama dengan 3 dalam 1 iaitu Sijil Perakuan Siap Kerja, Lukisan Siap Terbina (as-built drawing) dan juga Sijil Perakaun Muktamad (Statement of Final Account)
 
2) Tempoh bayaran kemajuan samaada bayaran tuntutan elaun, kemudahan dan bayaran kepada Pegawai Pengurusan dan Profesional, Kumpulan Sokongan dan juga tuntutan bayaran kontraktor, pembekal dan sebagainya hendaklah di dalam tempoh 7 hari.
 
3) Bilangan projek yang mempunyai EOT tidak melebihi 30%
 
-Melaksanakan kerja dan tugasan yang diberikan dengan baik dan berintegriti iaitu mengikut kontrak, spesifikasi dan juga mematuhi SOP yang telah ditetapkan, mendokumentasikan segala proses kerja dan sebaik-baiknya setiap keputusan atau tindakan yang diputuskan seharusnya dibuat dalam bentuk jawatankuasa.Mana-mana kerja yang dilaksanakan tidak mengikut spesifikasi hendaklah diberi amaran secara bertulis ataupun lisan kepada kontraktor dan pegawai bolehlah memaklumkan kepada Jurutera Daerah ataupun Pengarah sekiranya amaran tersebut tidak diterima oleh pihak yang terlibat.
 
-Imej JKR agak tercalar sejak akhir-akhir ini dan sekiranya terdapat aduan walaupun tidak dapat disahkan secara bertulis namun Pengurusan atasan JKR cuba sedaya upaya dimana akan dibuat siasatan dan akan memindahkan pegawai yang terlibat. Pegawai yang dipindahkan tersebut diharap menganggap tindakan tersebut sebagai satu penghijrahan demi kebaikan.Diharap pegawai yang terlibat dengan pertukaran dan perpindahan mematuhi arahan perpindahan tersebut dan menganggap ianya lumrah sebagai penjawat awam yang betanggungjawab kepada jabatan.
 
-Pegawai yang terlibat dengan projek hendaklah memastikan setiap aktiviti yang berlaku di tapak dicatat di dalam buku harian tapak kerana apabila projek tersebut terlibat dengan audit maka catatan dan juga buku harian tapak yang dikemaskini akan membantu pegawai dalam menghadapi audit.
 
-Pengurusan Atasan JKR sedang mengambil inisiatif untuk memulihkan imej JKR yang telah tercalar dengan mengadakan lawatan ke Pejabat Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan diharap seluruh warga JKR mengamalkan integriti di dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan. Sebagai contoh di musim perayaan baru-baru ini Ibu Pejabat JKR telah sediakan banting dan banner mengenai JKR tidak mengamalkan budaya memberi hadiah dan menerima hadiah.
 
-Warga JKR memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ dengan menyiasat aduan oleh orang awam samaada ianya betul atau palsu.Pastikan jalan-jalan negeri dan persekutuan iaitu guardrail,rumput, bahu jalan disenggara dengan baik dan tiada lubang dan air bertakung di selekoh-selokoh yang boleh membahayakan pengguna jalanraya.
 
-YB Menteri Kerja Raya dan juga KSU KKR telah bersetuju untuk menaikkan nilai deposit untuk kerja-kerja HDD dan sebagainya. Cawangan Fasiliti Senggara Jalan akan mengeluarkan pekeliling dan surat untuk menguatkuasakan arahan ini untuk digunapakai disetiap daerah dan juga negeri.
 
-Pengurusan JKR yang ada sekarang mempunyai barisan kepimpinan dan semangat kerja berpasukan yang baik dan ini diakui oleh KSU Kementerian Kerja Raya di mana aduan daripada Kementerian pelanggan adalah berkurangan pada masa ini.
  
Majlis berakhir dengan Lawatan ke Projek Pembangunan Seri Menanti Resort Di Daerah Kuala Pilah. Semoga Program Lawatan oleh Dato’ Sri KPKR ini akan meningkatkan hubungan dan persefahaman semua warga JKR demi mencapai kesepakatan yang diharapkan.