Date: Rabu, Oktober 27, 2021

Umum mengetahui bahawa Jabatan Kerja Raya telah mengadakan Majlis Pelancaran Pelan Pengurusan Risiko JKR 2021 – 2025.  Kesinambungan daripada itu, YBhg. Dato’ Ir. Hj. Masri bin Baharuddin, Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) bersama-sama Bahagian Pengurusan Perubahan & Prestasi (BPPP), CDPK yang diketuai oleh YBrs. Ir. Ts. Dr. Hj. Zarabizan bin Zakaria telah meneliti, mengemaskini seterusnya menambahbaik Garis Panduan Pelan Pengurusan Risiko Organisasi Jabatan sediada (versi 2017) berdasarkan keperluan semasa bagi memperkasakan lagi pelaksanaan Pelan Pengurusan Risiko Organisasi (ERM) Jabatan.

Justeru, pada tarikh 27 Oktober 2021 telah diadakan Majlis Pelancaran Garis Panduan Pengurusan Risiko Organisasi (ERM) JKR Malaysia 2021 yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly Bin Haji Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya. Majlis ini merupakan salah satu usaha JKR bagi memperkasakan lagi pelaksanaan ERM dikalangan seluruh warga kerja JKR Malaysia.

Majlis ini juga turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Ir. Haji Ahmad Redza bin Ghulam Rasool, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra) selaku Penaja Strategik, YBhg. Dato' Ir. Habbali bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) juga Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) iaitu YBhg. Dato Ir Haji Masri bin Baharuddin dan YBrs. Ir. Hj. Badieozaman bin Ab Khalik, Pengarah Kanan Cawangan Pengurusan Aset Bersepadu (CPAB) selaku Chief Risk Officer JKR Malaysia.

Garis panduan ini dihasilkan sebagai rujukan dan panduan dalam melaksanakan Pengurusan Risiko Organisasi (Enterprise Risk Management, ERM) di Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia. Garis panduan ini adalah berasaskan kepada Dasar Pengurusan Risiko JKR yang menggariskan kaedah melaksanakan ERM di Jabatan Kerja Raya Malaysia. Dokumen ini dibangunkan khusus untuk kegunaan Jawatankuasa Pengurusan Risiko Organisasi dan semua warga Jabatan Kerja Raya Malaysia.

 

Garis panduan ini juga memberi penjelasan tatacara bagi menguruskan risiko secara sistematik serta hubung kait pengurusannya di antara peringkat Cawangan dan JKR Negeri dengan peringkat Jabatan. Pelan Pengurusan Risiko Organisasi (ERM) Jabatan dan Pelan Pengurusan Risiko Organisasi (ERM) Cawangan/JKR Negeri dapat dibangunkan berpandukan kepada garis panduan ini.

 

Semoga dengan terbitnya dokumen ini, dapat dijadikan panduan dan rujukan bagi seluruh warga kerja JKR Malaysia dalam pembangunan Pelan Pengurusan Risiko Organisasi yang mantap di organisasi masing-masing.