Date: Rabu, September 21, 2022

20 September 2022 – Majlis Pelancaran Gotong – Royong Perdana Cegah Denggi Tapak Bina JKR Malaysia Tahun 2022 telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Seri’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly bin Sulaiman.

Majlis pelancaran yang diadakan di tapak projek Mahkamah Baharu Ampang, Selangor dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Kualiti, Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat bersama dengan JKR Selangor serta JKR Hulu Langat yang juga merupakan Pegawai Penguasa dan Wakil Pegawai Penguasa projek tersebut.

Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran wakil dari Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sebagai menunjukkan sokongan terhadap program yang julung kali diadakan oleh JKR Malaysia bagi tujuan:

i.          Menghapuskan tempat pembiakan aedes.

ii.         Memastikan sisa binaan tapak bina diurus dengan baik, dan

iii.        Meningkatkan aspek keselamatan dan kesihatan tapak bina dipatuhi secara konsisten pada setiap masa.

Program ini akan dilaksanakan selama sebulan iaitu bermula pada 20 September 2022 sehingga 20 Oktober 2022. Dalam tempoh ini, semua tapak projek JKR khususnya di seluruh negara akan melaksanakan aktiviti gotong – royong secara agresif dalam mencegah denggi selain mengemukakan laporan pelaksanaan aktiviti tersebut kepada urus setia melalui emel kualiti [at] jkr.gov.my.

‘TIADA AEDES, TIADA DENGGI”