Date: Khamis, Disember 10, 2020

Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah mengadakan Majlis Pelancaran Pembukaan Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) bagi Monsun Timur Laut 2020/2021 yang telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly Bin Haji Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya pada 9 Disember 2020 bertempat di Bilik Gerakan Bencana Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, Blok F.

Majlis ini turut dihadiri oleh 30 orang jemputan yang terdiri daripada YBhg. Dato' Ir. Haji Ahmad Redza bin Ghulam Rasool​, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), YBrs. Ir. Hj. Masri bin Baharuddin, Pengarah Cawangan Dasar & Pengurusan Korporat (CDPK), YBrs. Ir. Ibrahim bin Esa, Pengarah Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ), YBrs. Ir. Hj. Abd Rahman bin Pandi, Pengarah Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC), Ketua-Ketua Bahagian Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ) dan Seketariat Bilik Gerakan Bencana (BiGBen).

Pembukaan Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) ini adalah merupakan inisiatif pihak Jabatan bagi tujuan One Stop Centre Pengurusan maklumat kejadian bencana seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak/runtuh yang mana melibatkan jalan dibawah seliaan Jabatan Kerja Raya seperti Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri. Selain itu, orang awam juga dapat mengetahui maklumat penutupan jalan dan maklumat jalan alternatif yang boleh dilalui ketika berlakunya bencana di Portal eBencana JKR di laman web http://bencanaalam.jkr.gov.my/v3/.

Adalah diharapkan dengan  Pembukaan Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia ini akan menjadi sumber rujukan utama kepada semua agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan juga semua masyarakat mengenai maklumat bencana.

Bersempena Majlis Pelancaran Pembukaan Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) ini juga, YBrs. Ir. Ibrahim bin Esa, Pengarah CSFJ, turut menyampaikan cenderahati kepada YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly Bin Haji Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya sebagai tanda terima kasih dan kenang-kenangan.