Date: Jumaat, April 30, 2021

Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) telah mengadakan Majlis Pelancaran Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) JKR dan Piagam Pelanggan JKR (Pindaan Mei 2021) yang disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly Bin Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR) pada 30 April 2021 bertempat di Blok G, Menara Kerja Raya, Kuala Lumpur. Majlis ini turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya, Pengarah Kanan dan Pengarah Cawangan JKR serta disaksikan oleh warga JKR secara langsung menerusi Facebook JKR Malaysia. Majlis ini telah dianjurkan oleh BKK, CDPK yang diterajui oleh Ketua Bahagian, YBrs. Ir. Nor Aznita binti Yusof.

Sebagai simbolik pelancaran, majlis juga telah ditayangkan dengan persembahan montaj serta sesi penyerahan poster SISPAA JKR dan Piagam Pelanggan JKR oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Masri bin Baharuddin, Pengarah CDPK kepada YBhg. Dato’ KPKR.

Matlamat utama pengenalan SISPAA JKR sebagai sistem pengurusan aduan utama Jabatan adalah untuk memperkasa penyampaian perkhidmatan JKR melalui pengurusan aduan yang lebih cekap, sistematik dan bersepadu. Langkah ini adalah seiring dengan hasrat Biro Pengaduan Awam selaku agensi rujukan utama berkaitan pengurusan aduan agar semua Kementerian dan Agensi Kerajaan menggunapakai SISPAA.

SISPAA JKR yang dibangunkan ini bakal mengatasi kekangan yang terdapat pada sistem sedia ada kerana mempunyai fungsi penghantaran emel melalui sistem sekaligus mengelak situasi double handling. Dengan kata lain, semua proses pengurusan aduan dapat dilaksanakan melalui satu sistem aduan yang tunggal.

Sistem ini akan digunapakai oleh seluruh JKR Cawangan, JKR Negeri dan Daerah bermula 1 Mei 2021 dan berfungsi sebagai data depository and management system bagi menggantikan sistem pengurusan aduan sedia ada.

Piagam Pelanggan pula ditambahbaik bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih responsif, berorientasikan pelanggan (customer centric), tumpuan kepada hasil (outcome), berintegriti, beretika dan mesra pelanggan.

Piagam Pelanggan sebelum ini telah dikaji semula meliputi setiap bidang tugas Pengurusan Projek, Senggara Aset, Khidmat Nasihat Teknikal, Pengurusan Aduan dan Pengurusan Kewangan. Kajian yang dilaksanakan setiap tahun ini mengambilkira aspek kos dan tempoh masa secara terperinci berdasarkan aktiviti yang dilaksanakan dalam memastikan penyampaian perkhidmatan JKR sentiasa relevan dalam landskap penyampaian perkhidmatan industri pembinaan. Ini juga selaras dengan kehendak pelanggan yang semakin meningkat, perubahan persekitaran dan perkembangan teknologi semasa.

Dokumen ini wajib dipatuhi oleh kakitangan Jabatan Kerja Raya Malaysia berdasarkan Surat Arahan KPKR Bil.16/2021. Dengan berkuatkuasanya Surat Arahan ini, tempoh sah Surat Arahan KPKR Bil. 9/2019 bertarikh 13 Mac 2019 adalah ditamatkan.