Date: Rabu, Februari 7, 2024

05 Februari 2024 - Bertempat di Auditorium Muzik dan Kesenian (MUKES), Pangkalan Udara Subang, telah berlangsung Majlis Penyerahan oleh Markas Tentera Udara (MTU), Kementerian Pertahanan (MINDEF) kepada Cawangan Senggara Fasiliti Bangunan (CSFB), JKR bagi Tanggungjawab Operasi Dan Penyelenggaraan Aset Untuk Bangunan-Bangunan Baharu Yang Dibina Di Pangkalan Udara Subang Di Bawah Projek Perpindahan Pangkalan Udara Kuala Lumpur (PUKL) – 40 Kluster Bangunan (98 Blok). Majlis ini telah disempurnakan oleh YBrs. Kolonel Yusri Bin Jamari, Komander Pangkalan Udara Subang.

Majlis tersebut melibatkan, penyerahan Akuan Penerimaan untuk tanggungjawab operasi dan penyenggaraan aset bangunan-bangunan yang terlibat oleh Pengarah CSFB, JKR, Ir. Ahmad Shahruzi Bin Ahmad kepada pihak MTU. Selain itu, majlis juga melibatkan Arahan Pelaksanaan untuk tanggungjawab operasi dan penyenggaraan aset bangunan-bangunan yang terlibat kepada Ir. Mohd Jais Bin Abu Samah, Ketua Unit Tentera JKR TUDM Subang. 

Permohonan dari MTU kepada CSFB, JKR bagi tanggungjawab operasi dan penyenggaraan aset telah diterima pada 15 Julai 2022. Pada 13-17 Februari 2023, Bahagian Ukur Bangunan (BUB), CSFB telah menjalankan pemeriksaan untuk penyediaan pelaporan Facilities Condition Assessment (FCA). Pada 15-19 Januari 2024, Bahagian Fasiliti Bangunan Tentera dan Unit Tentera JKR TUDM Subang telah melaksanakan pemeriksaan menyeluruh semua dokumen-dokumen penerimaan aset untuk bangunan-bangunan yang terlibat yang merupakan prosedur utama untuk penerimaan tanggung jawab operasi dan penyenggaraan aset bangunan.

Majlis turut dihadiri oleh YBrs. Kolonel Ungku Suzaini Bin Ungku Ahmad Pengarah Program, Bahagian Perancangan & Pembangunan (INFRABINA), MTU, Bahagian Senggaraan Kompleks, Pangkalan Udara Subang, Bahagian Senggara Fasiliti Bangunan Tentera, CSFB dan Unit Tentera JKR TUDM Subang, CSFB.

Ir. Ahmad Shahruzi Bin Ahmad, Pengarah CSFB menyeru kakitangan CSFB khususnya yang bertanggjawab dengan operasi dan senggaraan aset untuk bangunan-bangunan baharu yang diterima tersebut melaksanakan perancangan dan pelaksanaan program penyenggaraan dibuat dengan segera dan teratur bagi memastikan peruntukan yang diterima dapat dibelanjakan serta memenuhi kehendak jabatan dan pelanggan.