Date: Jumaat, Disember 14, 2018

Majlis penyerahan Projek Kompleks Obstetrik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, Selangor - FASA 2 telah berlangsung pada 7hb Disember 2018 (Jumaat) di tapak projek pada jam 11:00 pagi.

Majlis menandatangani sijil penyerahan projek dan penyerahan replika kunci di antara Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Jabatan Kerja Raya (JKR) ini telah disempurnakan bersama oleh YBrs. Dr. Mohamad Sabri bin Othman, Pengarah HTAR, Klang dan YBhg. Dato’ Ir. Mohamad Sahimi bin Hj. Arshad, Pengarah Pasukan Projek Khas 1 (PPK1), CDPK JKR.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), YBhg. Dato’ Seri Dr. Chen Chaw Min, Setiausaha Bahagian Kanan Bahagian Pembangunan KKM - YBhg. Dato’ Hajjah Rahmah binti Ramli, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Bangunan - YBrs Ar. Zairul Azidin bin Badri, Pengarah Cawangan Kerja Kesihatan (CKK) JKR - YBrs. Ir. Mohd Rahim bin Hj Kawangit, Pengarah Kanan Cawangan Kejuruteraan Mekanikal (CKM) JKR -  Ir. Radzwan bin Kasim serta Pengarah Rekabentuk CKM - YBrs. Ir. Mamat Rohizan bin Abdullah serta Pengarah Rekabentuk Cawangan Arkitek (CA) - YBrs. Pn. Nik Ainun Zanariah binti Nik Abd. Rashid.

Projek ini telah dilaksanakan oleh Kontraktor Pembinaan Sujaman Sdn. Bhd. dengan kos kontrak bernilai RM 143 juta dan tarikh penyiapan sebenar awal dua (2) hari dari tarikh penyiapan dalam kontrak.

Ia melibatkan pembinaan satu blok baru (9 tingkat) mengandungi Wad Pesakit Dalam bagi Perkhidmatan Obstetriks (216 katil), Neonatal ICU (40 katil), Special Care Nursery, 24 bilik bersalin, 2 bilik bedah maternity (MOT), Klinik dan pejabat pakar, Klinik Pakar Obstetriks & Ginekologi, Perkhidmatan sokongan lain seperti satellite laboratory, Pharmacy, Unit Bekalan Sterile (TSSU), Bilik on call dan lain-lain kemudahan awam seperti tempat meletak kereta dan cafeteria.  

Penyerahan Projek ini merupakan satu lagi kesinambungan pencapaian pembangunan projek-projek di Jabatan ini dalam usaha untuk menyediakan keperluan infrastruktur dan kemudahan awam di Daerah Klang selain membantu pihak KKM dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dan memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada Pegawai Penguasa Pasukan Projek Khas 1. Juga kepada Cawangan Kerja Kesihatan serta semua pejabat HODT  yang terlibat dalam menjayakan projek ini bermula dari peringkat perancangan sehinggalah ianya dapat diserahkan.