Date: Rabu, November 8, 2023

Majlis Penyerahan Projek Membina Baru Jambatan Konkrit Di C115 Seksyen 8.6 Kg. Jergoh, Temerloh, Pahang telah berlangsung dengan jayanya pada 3 November 2023 bertempat di Bilik Mesyuarat Mayang Sari, Aras 25, Kementerian Kemajuan Desa & Wilayah (KKDW) Putrajaya.

Majlis disempurnakan  oleh YBrs.  Tuan Ahmad Bin Tuan Wil, Setiausaha Bahagian Prasarana mewakili Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) dan YBhg. Dato’ Ir. Hj. Zulkipli Bin Hj. Nasri, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Sektor Infra. Majlis turut diserikan lagi dengan kehadiran YBhg. Dato’ Ibrahim Bin Esa, Pengarah Kanan Cawangan Jalan dan Yang Hormat Dato’ Ir. Ts. Hafizah binti Zakaria, Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang, YBrs. Ir. Haji Kamarul Hisyam Bin Kamaruzzaman, Ketua Jurutera Elektrik Negeri Pahang, YBrs. Ir. Nor Azlina Binti Kasim selaku Jurutera Daerah JKR Temerloh dan Pegawai Penguasa bagi projek ini, wakil Unit Projek Khas Cawangan Jalan, wakil Bahagian Pengurusan Projek Luar Bandar, Cawangan Jalan selaku Ketua Pasukan Projek (HOPT), wakil dari Pasukan Rekabentuk (HODT) serta wakil pihak kontraktor utama.

Projek ini dilaksanakan secara konvensional dalaman yang direkabentuk oleh Pasukan Rekabentuk Jambatan, Cawangan Jalan, JKR Malaysia dengan siling projek sebanyak RM 14.0 juta. Skop projek melibatkan pembinaan jambatan konkrit 3 span sepanjang 75 meter dan jalan tuju sepanjang 295 meter serta membuka semula jambatan keluli bermodular (bailey bridge) sediada.

Tempoh penyiapan kontrak asal projek ini adalah selama 18 bulan iaitu bermula 01 Februari 2022 sehingga 14 Ogos 2023 dan kontraktor telah berjaya menyiapkan projek lebih awal dan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah dikeluarkan pada 20 Julai 2023 (25 hari awal dari tarikh patut siap semasa). Berkat kesungguhan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi daripada pasukan kontraktor utama, syarikat Wawasan Cekal Sdn Bhd. bersama kontraktor elektrik dari syarikat Nashima Enterprise serta kontraktor G1 Perabot Jalan (Guardrail), SYZ Enterprise, projek ini berjaya disiapkan dengan sempurna bagi memberi kemudahan kepada penduduk setempat meskipun negara berhadapan dengan kenaikan harga barang binaan yang mendadak pasca krisis pandemik Covid-19.

Matlamat utama pembinaan jambatan konkrit ini adalah untuk menggantikan jambatan keluli bermodular (bailey bridge) sediada yang telah uzur serta memberi kemudahan dan keselesaan kepada penduduk setempat untuk melakukan aktiviti harian .

Setinggi-tinggi penghargaan kepada Jurutera Daerah JKR Temerloh selaku Pegawai Penguasa Projek, JKR Negeri Pahang, Ketua Pasukan Projek (HOPT), semua Bahagian Rekabentuk (HODT), Pasukan Projek JKR Temerloh, Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah selaku kementerian pelanggan kontraktor-kontraktor seterusnya semua pihak yang telah berusaha gigih dan memberikan komitmen serta kerjasama yang padu dalam penyiapan projek ini.