Date: Isnin, Disember 18, 2023

Pada 15 Disember 2023, Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Politeknik Bagan Datuk  telah diadakan dengan jayanya bertempat di Kampus Tetap Politeknik Bagan Datuk, Perak.

Majlis telah dimulakan dengan acara menandatangani dokumen penyerahan antara YBrs. Ir. Suzzana binti Punari, Pengarah Pembinaan, Pasukan Projek Khas 1 selaku Pengarah Projek dengan YBrs. Dr. Fary Akmal binti Osman, Timbalan Setiausaha Bahagian Pembangunan, Kementerian Pendidikan Tinggi. Acara ini turut disaksikan oleh YBrs. Sr Norlela binti Mat Nasir, Juruukur Bahan Penguasa Kanan, selaku wakil Pengarah Cawangan Kerja Pendidikan dan YBrs. Ts. Hj. Muhamad Rumzi bin Mamat , Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi.

Selanjutnya ialah acara penyerahan replika kunci oleh YBrs. Tn. Hj. Zullfakher bin Md Toon, Pengarah Urusan Proven Construction & Development Sdn. Bhd. selaku kontraktor utama projek ini kepada YBrs. Ir. Suzzana binti Punari. Replika kunci ini kemudiannya disampaikan pula kepada YBrs. Dr. Fary Akmal binti Osman sebagai simbolik penyerahan bangunan Politeknik Bagan Datuk, sekaligus menandakan bangunan yang berbentuk kapal ini sedia untuk ‘belayar’ di lautan ilmu maritim.

Projek pembinaan kampus baharu Politeknik Bagan Datuk yang dimulakan pada 30 Oktober 2017 (Surat Setuju Terima) adalah dibina secara Reka dan Bina dengan kos asal projek sebanyak RM175 juta. Pembinaan politeknik yang dibuat atas tapak berkeluasan 30 ekar ini terdiri daripada:

  1. Bangunan Pentadbiran dan Akademik (3 tingkat);
  2. Dewan Serbaguna berkapasiti 1,000 orang;
  3. Bangunan Bengkel;
  4. Bangunan Makmal;
  5. Pusat Islam berkapasiti 850 orang;
  6. Asrama Pelajar Lelaki (3 tingkat);
  7. Asrama Pelajar Perempuan (4 tingkat);
  8. Kafeteria;
  9. Kuarters Kakitangan Kelas E Dua Tingkat (5 unit);
  10. Rumah Warden Kelas D Setingkat (4 unit);
  11. Garaj Kenderaan; dan
  12. Lain-lain kemudahan dan infrastruktur asas.    

Projek ini telah berjaya disiapkan mengikut jadual pada 23 Oktober 2023 dengan beberapa kejayaan seperti berikut:

  1. Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC);
  2. Lukisan Siap Bina (As-Built Drawing);
  3. Penyata Akaun Muktamad (SOFA);
  4. Penjimatan kos sebanyak RM10 juta;
  5. Pendaftaran Aset Tak Alih;
  6. Zero Major Defect;
  7. 1,000,000 Man-Hours tanpa Lost Time Injury (LTI); dan
  8. Coffee Table Book.

Selain daripada kejayaan di atas, projek ini juga telah berjaya memperolehi beberapa pencapaian lain iaitu:

  1. mendapat tempat PERTAMA bagi kategori Model Building Information Modeling (BIM) untuk projek Reka dan Bina sempena JKR BIM DAY pada tahun 2021;
  2. pencapaian DUA BINTANG peringkat rekabentuk untuk Malaysia Carbon Reduction & Environmental Sustainability Tool (MyCREST);
  3. penarafan kategori BAIK bagi penilaian BIM IMPACT oleh JKR Malaysia; dan
  4. membantu Kementerian Pendidikan Tinggi memenangi tempat KETIGA bagi kategori pengurusan Industrialised Building System (IBS) Terbaik Bagi Kos IBS Di Atas RM1 Bilion dalam Anugerah Pembangunan Negara 2023.

Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Proven Construction & Development Sdn. Bhd. dan pasukan JKR yang terdiri daripada Pasukan Projek Khas 1, Cawangan Kerja Pendidikan dan cawangan-cawangan pakar JKR atas kejayaan menyiapkan projek ini. Tidak ketinggalan juga ucapan terima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan projek ini.

Poli Bagan Datuk

Poli Bagan Datuk

Poli Bagan Datuk

Poli Bagan Datuk

Poli Bagan Datuk