Date: Jumaat, Ogos 12, 2022

Pada tanggal 9 Ogos 2022 (Selasa) bertempat di Bilik Tanjung, Kementerian Kerja Raya, Jalan Sultan Salahuddin, Kuala Lumpur telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan perlantikan Pengarah Projek bagi projek di bawah Cawangan Jalan iaitu Menaiktaraf Jalan FT004 Gerik/Kupang/Lunas Dari Seksyen 23.10 – Seksyen 35.70, Kulim, Kedah Darul Aman dan Menaiktaraf Jalan Perindustrian Rawang (FT3209), Dalam Daerah Gombak, Selangor Darul Ehsan.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Haji Wan Sulaiman, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya dengan penyerahan dokumen Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya iaitu K.I Engineering Sdn. Bhd. dan Syarikat Pertama Makmur Sdn. Bhd.

Majlis turut dilengkapi dengan penyerahan surat rasmi pelantikan Pengarah Projek bagi projek FT004 Gerik/Kupang/Lunas kepada Unit Projek Khas Zon Utara 1 YBrs. Ir N Naelah binti Mat Kasa dan Projek FT3209 Rawang kepada Bahagian Pengurusan Projek Tengah yang diwakili oleh YBrs. Ahmad Zaidi bin Mat Said.

Majlis ini turut dihadiri oleh YBhg. Dato' Ir. Haji Ahmad Redza bin Ghulam Rasool, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), YBrs Zureen bin Zubir, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan dan Penswastaan, Kementerian Kerja Raya, YBrs. Ir. Hasmi bin Ahmad, menjalankan tugas Pengarah Kanan Cawangan Jalan, YBrs. Ir. Shahrom bin Ahmad Saman, Pengarah Pakar Kejuruteraan Jalan dan Jambatan, bersama wakil-wakil pihak HOPT dan HODT yang terlibat.

Projek ini adalah projek di bawah Kementerian Kerja Raya selaku pelanggan kepada projek ini. Skop utama projek FT004 Gerik/Kupang/Lunas adalah melibatkan naiktaraf jalan sedia ada daripada jalan tunggal 2 lorong kepada 4 lorong 2 hala sepanjang 12.6 km dengan kos projek RM299 juta. Manakala bagi projek FT3209 Rawang melibatkan kerja menaiktaraf jalan berkembar 4 lorong sepanjang 1.3km dan 6 lorong sepanjang 1.9km dengan piawaian U5 dari simpang FT001 ke tol rawang dengan kos RM227 juta.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada kontraktor yang dilantik dan semoga dapat memberi komitmen sepenuhnya untuk menyiapkan projek dalam tempoh kontrak yang telah ditetapkan.

Projek naiktaraf laluan FT004 dan FT3209 merupakan sebahagian komitmen Kerajaan untuk menyediakan infrastruktur terbaik. Kesinambungan kepada projek ini akan melancarkan aliran trafik keluar masuk terutamanya ke kawasan perindustrian dan komersial serta kawasan-kawasan perumahan sekitarnya.

JKR selaku agensi pelaksana akan memikul amanah yang telah diberikan dengan baik bagi memenuhi aspirasi Kerajaan agar projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti tinggi, dengan kos dan tempoh masa seperti mana yang telah ditetapkan di dalam kontrak.