Date: Selasa, Julai 12, 2022

Pada tanggal 5 Julai 2022 (Selasa) dan bertempat di Bilik Mesyuarat Cenderawasih, Aras 13A, Menara PJD‎ telah berlangsungnya Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) dan penyerahan rasmi pelantikan Pegawai Penguasa bagi dua (2) projek di bawah Cawangan Kerja Bangunan Am 1 (CKBA1) yang melibatkan projek MENAIK TARAF RUMAH SERI KENANGAN JOHOR ‎‎BAHRU, JOHOR dan projek PEMBINAAN PEJABAT NEGERI PERTAHANAN AWAM KELANTAN‎.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YBrs. Ar. Abd Shukor bin Ismail, yang menjalankan tugas Pengarah ‎Kanan Cawangan Kerja Bangunan Am 1 ‎dengan penyerahan dokumen Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya iaitu SAKIZA INDAH SDN. BHD.‎ bagi projek Rumah Seri Kenangan (RSK) Johor ‎‎Bahru dan DNA BENTARA SDN. BHD. bagi projek Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kelantan. Majlis turut dilengkapi dengan penyerahan surat rasmi pelantikan Pegawai Penguasa bagi projek RSK Johor Bahru kepada Pengarah JKR Negeri Johor, yang diwakili oleh YBrs. Puan Kavitha a/p Tungarasa dan Pengarah JKR Negeri Kelantan selaku Pegawai Penguasa bagi projek APM Kelantan, yang diwakili oleh YBrs. Tuan Mat Nasir bin Mat Nawi.

Turut hadir bersama adalah Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan ‎Masyarakat, YBrs. Encik Mohd. Hanafee bin A Rahman, serta YBrs. Puan Zarita binti Dato' Zainol Abidin, Timbalan Pengarah Bahagian Kewangan, Perolehan & Pembangunan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, wakil dari pejabat HOPT, HODT dan pasukan perunding yang terlibat.

Projek Menaik Taraf Rumah Seri Kenangan Johor ‎‎Bahru, Johor adalah projek di bawah Kementerian ‎‎Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ‎‎selaku pemilik.‎ Objektif pelaksanaan projek ini adalah bagi ‎menyediakan bangunan yang selamat dan selesa ‎kepada warga emas di Rumah Seri Kenangan ‎Johor Bahru dan mendayaupayakan individu, ‎keluarga dan masyarakat dengan menyediakan ‎perkhidmatan mesra warga emas yang cekap dan ‎berkesan serta membangunkan persekitaran  ‎yang boleh membantu warga emas kekal berada ‎dalam fasiliti yang selamat.‎ Projek yang dilaksanakan secara Konvensional Perunding ini melibatkan pembangunan kawasan ‎seluas 13.85 ekar di Daerah Johor Bahru, Johor. ‎

 

Projek Pembinaan Pejabat Negeri Pertahanan Awam Kelantan ‎adalah projek di bawah Jabatan Perdana Menteri bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Projek yang akan dibangunkan ini terletak di atas tanah yang berkeluasan ‎‎2.266 hektar milik Angkatan Pertahanan Awam di ‎Tunjong, Kelantan Darul Naim yang bersebelahan ‎dengan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) ‎dan pejabat Jabatan Ketua Pengarah Tanah & ‎Galian (JKPTG) Negeri Kelantan. Semoga dengan siapnya projek ini kelak akan ‎memberi banyak manfaat kepada penduduk-‎penduduk di Negeri Kelantan amnya dan pasukan ‎APM Negeri Kelantan khasnya bagi menjalankan ‎perkhidmatan dengan baik, mantap serta ‎menaikkan imej APM dan JPM.‎

 

Syabas dan tahniah diucapkan kepada kontraktor yang dilantik dan semoga dapat memberi komitmen sepenuhnya untuk menyiapkan projek dalam tempoh kontrak yang ditetapkan.

Alhamdulillah. Diharap kejayaan penyerahan dua (2) Surat Setuju Terima (SST) ini dapat dijadikan semangat kepada ‎semua pihak dalam urusan pelaksanaan projek yang ‎seterusnya.‎ Setinggi-tinggi syabas dan tahniah diucapkan ‎kepada semua pihak yang telah berusaha keras ‎merealisasikan harapan ini.

JKR selaku agensi pelaksana akan memikul amanah yang telah diberikan dengan baik bagi memenuhi aspirasi Kerajaan agar projek-projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti, dengan kos dan tempoh masa seperti mana yang telah ditetapkan dalam kontrak.