Date: Khamis, Februari 3, 2022
Pentauliahan Program Pensijilan Pengurus Projek Bertauliah JKR Sesi 2021 telah diadakan bersempena dengan Majlis Amanat KPKR bil.1/2022. Program Pensijilan Pengurus Projek Bertauliah JKR dilaksanakan bertujuan untuk menggalakkan penggunaan amalan terbaik dalam pengurusan projek disamping meningkatkan kompetensi pengurus/pasukan projek di setiap peringkat JKR. Program ini juga sebagai pengiktirafan dan laluan kepada kepakaran dalam bidang pengurusan projek. Penilaian calon adalah berasaskan kompetensi iaitu Competency Based Assessment System (CBAS).
 
Program CBAS telah mula dilaksanakan pada tahun 2007. Sehingga 2020 seramai 264 orang pegawai JKR telah berjaya ditauliahkan terdiri daripada 44 orang Registered Program Director (RPD), 159 orang Registered Project Manager (RPM) dan 61 orang Qualified Project Practitioner (QPP).
 
Pencapaian Pengurus Projek Bertauliah JKR di bawah Program CBAS merupakan Petunjuk Prestasi Utama Jabatan selaras dengan Pelan Strategik 2021 – 2025. Untuk Program CBAS Sesi 2021, seramai 126 calon telah berjaya dianugerahkan sebagai Pengurus Projek Bertauliah JKR manakala 10 orang lagi sebagai Assessor Bertauliah JKR. Pecahan Pengurus Projek Bertauliah mengikut tahap pensijilan adalah 9 orang RPD, 104 orang RPM dan 13 orang QPP. Pecahan pencapaian mengikut JKR Cawangan dan Negeri adalah seperti berikut:
 
 
Sekalung penghargaan dan ucapan terima kasih juga diberikan kepada barisan Assessor Bertauliah yang telah memberikan komitmen yang tinggi untuk menjalankan penilaian professional kepada calon-calon CBAS 2021 sehingga mereka berjaya melengkapkan program ini dengan jayanya.
 
 
Pengarah Kanan/Pengarah Cawangan, Negeri dan Pasukan Projek Khas telah menerima Sijil Pengurus Projek Bertauliah JKR secara simbolik bagi mewakili pegawai-pegawai yang telah berjaya di pejabat masing-masing berdasarkan penempatan pegawai semasa surat perlantikan menyertai Program CBAS diedarkan.
 
 
 
Pentauliahan Assessor Bertauliah JKR pula telah disampaikan kepada 10 orang pegawai yang telah berjaya. Program Pensijilan Assessor diadakan bertujuan untuk melahirkan lebih ramai Assessor Bertauliah JKR. Disamping meningkatkan kepakaran dalam bidang pengurusan projek, Assessor Bertauliah  juga merupakan penggerak dan nadi utama bagi memastikan kesinambungan dan kejayaan program Pensijilan Pengurus Projek Bertauliah pada masa akan datang.
           
Melangkah ke hadapan, Program CBAS Sesi 1/2022 akan bermula pada Februari 2022 manakala CBAS Sesi 2/2022 pula akan bermula pada Jun 2022. Seramai 150 orang calon akan mengikuti program ini di bawah penilaian Assessor Bertauliah JKR dan Assessor Bersara. Semoga program berjalan lancar dengan kerjasama semua pihak dan seterusnya hasrat jabatan untuk melahirkan lebih ramai Pengurus Projek Bertauliah dapat dicapai.