Date: Khamis, September 22, 2016

Perhimpunan Bulanan Kementerian Kerja Raya telah diadakan pada 22 Sept 2016 bertempat di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid Kementerian Kerja Raya. Perhimpunan bulanan ini telah dihadiri oleh Y.Bhg. Dato' Ir. Hj. Mohd Fazli bin Osman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), Y.Bhg. Dato' Ir. Hj. Ismail bin Md Salleh, Ketua Pengarah, Lembaga Lebuhraya Malaysia, Y.Bhg. Dato' Ir. Ahmad 'Asri bin Abdul Hamid, Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia serta kakitangan  Warga Kementerian dan Agensi-Agensi di bawahnya. Ucapan telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Sri  Zohari Haji Akob, Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kerja Raya (KKR) mewakili YB Menteri Kerja Raya Malaysia.

Diantara intipati ucapan YBhg. Dato’ Sri  Zohari:

Ucapan tahniah kepada YBhg. Dato' Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha kerana telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya JKR Malaysia pada 24 Ogos 2016 serta dianugerahkan Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) oleh KDYMM Sultan Pahang pada 20 Ogos 2016. YBhg. Dato' Sri KSU juga mengucapkan tahniah kepada Dato'  Norman bin Md Rabani, Pegawai Khas Teknikal, Pejabat Menteri, Kementerian Kerja Raya yang telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh KDYMM Sultan Pahang pada 14 Sept 2016.

Mengingatkan kepada semua Pegawai Penguasa projek untuk memastikan tapak binaan bagi projek-projek Kerajaan yang mereka uruskan, berada dalam keadaan bersih dan bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes. Perkara ini mestilah menjadi agenda tetap dalam mesyuarat tapak setiap projek Kerajaan.

Mengambil semangat dan falsafah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya Ismail yang bersedia melakukan apa sahaja demi mencapai keredaan Allah untuk pembangunan ummah sejagat dan bermuhasabahlah dengan ikhlas kerana Aidiladha mengajar umat betapa setiap perjuangan itu memerlukan cita-cita dan idealisme yang disemangati prinsip dan nilai Islam sejati.

Menara Kerja Raya telah diiktiraf sebagai bangunan baharu ke-10 terbaik di dunia oleh Majalah Business Insider, United Kingdom dan pada 13 Jun 2016, Menara Kerja Raya juga telah berjaya memperoleh persijilan Green Building Index (GBI) Platinum dan menjadi bangunan kerajaan yang pertama memperoleh pensijilan ini. Menara ini juga berjaya memenangi tempat kedua (2) bagi ASEAN Energy Awards (AEA), kategori Green Building Awards (Large Green Building Category). Penyampaian hadiah telah diadakan pada 21 September 2016 di Yangon, Myanmar oleh penganjur ASEAN Energy Business Forum 2016 Organizing Committee. Reka bentuk Menara ini adalah efisyen (design efficiency) dimana JKR mengambil langkah proaktif ke arah mencapai Wawasan Malaysia menjadi negara maju dengan menghasilkan reka bentuk baharu dan dinamik yang bukan sahaja bersifat lestari tetapi turut berkesan dari segi kos dengan menggunakan sumber terhad.

Program Jelajah FTRoadpedia KKR telahpun diadakan pada 6 Ogos 2016 yang lalu, bermula dari Kompleks Kerja Raya dan flag off di Padi Box, Sekinchan, Selangor dan berakhir di Dewan Komuniti, Bt 10, Lekir, Manjung. Konvoi berkenderaan sepanjang laluan Jalan Persekutuan FT05 yang bagi zon tengah yang disertai oleh YBhg. Dato' Sri KSU KKR bersama YB Menteri Kerja Raya dan pengurusan tertinggi Kementerian dan pengamal media. Sepanjang laluan, konvoi jelajah telah meninjau aktiviti tugasan JKR/ syarikat konsesi, merakam tempat menarik sepanjang laluan seperti tempat rekreasi, tempat makan, penginapan, tempat bersejarah, rumah ibadat dan sebagainya. Dato' Sri KSU berpuashati dan berpendapat bahawa program ini telah pun berlangsung dengan baik dan telah berjaya mencapai objektifnya.

Menggalakkan agar semua anggota Kementerian dapat memanfaatkan saluran media sosial ini untuk menyokong dan memainkan peranan di dalam menyebarluaskan program-program KKR. Namun perlu berhati-hati, khususnya dalam memberi pandangan atau ulasan berkaitan dasar kerajaan, polisi perkhidmatan awam atau isu-isu sensitif melibatkan masyarakat pelbagai kaum dan agama. Selain itu, dokumen-dokumen atau maklumat-maklumat terperingkat kerajaan juga hendaklah sentiasa terkawal agar tidak didedahkan secara bebas di media-media sosial.

Semoga dengan amanat yang telah disampaikan, seluruh warga KKR dapat menyelami aspirasi kerajaan serta pengurusan atasan dalam menambahbaik sistem penyampaian sektor awam.