Date: Khamis, April 28, 2022

Assalamualaikum warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan kurniaNya, kita diberi kesempatan untuk merasai kenikmatan bulan Ramadan pada tahun ini serta berpeluang megerjakan ibadah puasa dalam suasana aman dan harmoni.

Ramadan Al-Mubarak, bulan yang mulia dan penuh barakah telah sampai ke penghujungnya dan Syawal pula bakal menjelang tiba. Setelah hampir dua tahun kita semua tidak dapat merasai suasana berhari raya dan peluang pulang ke kampung halaman kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan.  Namun, akhirnya  bermula 1 April 2022, negara telah memasuki fasa peralihan ke endemik di mana banyak kelonggaran yang telah diberikan oleh Kerajaan agar kita dapat meneruskan kelangsungan aktiviti harian. Alhamdulillah, pada tahun ini kita semua berpeluang untuk meraikan sambutan Aidilfitri bersama keluarga tersayang dan merasai suasana beraya di kampung halaman semula. 

Walau bagaimanapun, di sebalik keriangan untuk pulang ke kampung halaman tidak kira sama ada bersama keluarga, sahabat handai mahupun pulang bersendirian, saya menyeru kepada semua pengguna jalan raya agar sentiasalah berwaspada, berhati-hati di jalan raya dan patuhilah langkah keselamatan jalan raya yang telah ditetapkan.

Bagi tujuan meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan di musim perayaan kali ini, Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya telah dilancarkan bermula pada 29 April 2022 sehingga 3 Mei 2022.  Antara langkah-langkah keselamatan yang diambil adalah:

  1. Pelaksanaan kerja-kerja penyenggaraan rutin disiapkan lebih awal sebelum tempoh Ops Bersepadu kecuali kerja menampal pothole kecemasan dan kritikal sahaja;
  2. Penyelarasan pengurusan lalulintas di setiap daerah dan penubuhan pasukan peronda dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ);
  3. Penurunan had laju kebangsaan di Jalan Pesekutuan daripada 90km/j kepada 80km/j sepanjang tempoh Ops Bersepadu;
  4. Menghentikan sementara kerja-kerja pembinaan jalan dan penyenggaraan sepanjang tempoh Ops Bersepadu;
  5. Memastikan pengurusan trafik di tapak bina adalah di dalam keadaan sempurna; dan
  6. Pemakluman informasi mengenai jalan-jalan alternatif di musim perayaan oleh JKR Daerah yang terlibat.

Suasana Aidilfitri sebaiknya disambut dengan keriangan dan keceriaan, bukan kedukaan. Walau berbeza destinasi, keselamatan diri dan keluarga perlu dilindungi.  Berhati-hati dan patuhilah peraturan jalan raya di samping menjaga kesihatan diri dan orang yang tersayang. Lindung diri lindung keluarga.

Saya mengambil kesempatan di sini, dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga kerja JKR dan Keluarga Malaysia.

Maaf Zahir dan Batin.

 

DATUK Ir. HAJI MOHAMAD ZULKEFLY BIN SULAIMAN

Ketua Pengarah Kerja Raya