Date: Isnin, April 29, 2024

Sesi Memeterai Memorandum of Agreement (MoA) Antara Kerajaan dan Syarikat Utiliti bagi Kerja Perlindungan, Pengalihan dan Pemasangan Semula Utiliti dalam Pelaksanaan Program dan Projek Kerajaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) antara Kerajaan Malaysia dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. telah berlangsung pada 26 April 2024 (Jumaat) dan bertempat di Bilik Cempaka, Kompleks Kementerian Kerja Raya.

Sesi memeterai MoA ini telah disempurnakan oleh YBhg. Datuk Seri Haji Hasnol Zam Zam, Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya Malaysia selaku pemilik program RMKe-12 dan disaksikan oleh YBhg. Dato' Ir. Ibrahim Bin Esa, yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia (Sektor Infra). Wakil daripada syarikat SESB telah diketuai oleh YBrs. Ir. Ts.Mohd Yaakob bin Jaafar. Turut hadir wakil daripada ICU Jabatan Perdana Menteri, YBrs. En Kasman bin Genda dan wakil-wakil daripada Bahagian Perancang Jalan, Kementerian Kerja Raya. Sesi ini diselaraskan oleh Cawangan Jalan Ibu Pejabat JKR Malaysia selaku urusetia bagi memuktamadkan MoA sehingga termeterainya.

Memorandum of Agreement (MoA) ini bertujuan untuk mewujudkan suatu hubungan perundangan bersama dan punca kuasa bagi menyalurkan dana pembiayaan kepada syarikat utiliti. Dana pembiayaan yang didahulukan oleh kerajaan ini akan dituntut semula setelah kerja pengalihan utiliti siap dilaksanakan.

JKR selaku agensi pelaksana kerajaan memikul amanah rakyat untuk memastikan serta memenuhi aspirasi kerajaan agar program dan projek dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti dan tepat pada masa sepertimana yang telah dijanjikan.