Date: Selasa, September 19, 2017

HARI KEDUA – 18 SEPTEMBER 2017 (ISNIN)

Mesyuarat Jurutera Awam bersambung dengan sesi ceramah yang disampaikan oleh Dr. Rosniza Aznie Binti Che Rose dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia bertajuk “Managing Perception dan Mitos Vs Realiti”. Beliau menekankan kepentingan pengurusan persepsi di dalam sesebuah organisasi.

Sesi kedua diteruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Fakhrurrazi Bin Yusof dari Pejabat Khadi Daerah Johor Bahru dengan tajuk “Menangani Persepsi Masyarakat Dari Sudut Islam”. Beliau menjelaskan amanah dan tanggungjawab perlu digalas oleh setiap orang Islam di mana jika amanah dan tanggungjawab tersebut dijaga dengan betul, persepsi masyarakat akan mencerminkan ke arah kebaikan.

Sesi ketiga pula disampaikan oleh Pn. Fadilah binti Ahmad dari Jabatan Belia dan Sukan Negeri Johor dengan tajuk “Dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50)”. Beliau menyatakan terdapat empat fasa yang akan dilalui dalam merangka Laporan Belia TN50 iaitu Tema dan Aspirasi utama TN50, bidang keutamaan TN50, penzahiran aspirasi yang lebih jelas dan mendalam serta cadangan maklumbalas/tindakan berdasarkan tema, dan Laporan belia TN50 serta pelancaran inisiatif (pilot).

Sebelum majlis berhenti rehat, sesi keempat diteruskan dengan pembentangan ceramah oleh Tn. Hj. Mohd Razali bin Derahman dari Bahagian Komunikasi Korporat, Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat, JKR dengan tajuk “Peranan dan Pengaruh Media Sosial  - JKR Way”. Beliau menyatakan terdapat 5 saluran utama untuk tujuan promosi JKR iaitu Facebook, Youtube, Twitter, Instagram dan WordPress. Selain itu, terdapat dua (2) medium baru yang perlu diketengahkan iaitu mewujudkan Rakan JKR dan flipbook.

Majlis sebelah petang disambung pada jam 2.30 petang dengan sesi forum yang bertajuk  “Persepsi terhadap JKR dari Kaca Mata Agensi Pusat dan Pelanggan”. Antara panel jemputan bagi forum tersebut terdiri daripada Yang Berbahagia Dato’ Allaudin bin Hj Anuar dari Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, panel kedua adalah Yang Berusaha Tuan Abdul Haris bin Hj. Lakar, dari Kementerian Pengangkutan dan panel ketiga adalah Yang Berbahagia Dato’ Mohd Shafiq bin Abdullah dari Kementerian Kesihatan. Forum dikemudi oleh Ir. Azizul bin Arifin telah mengupas persepsi dan pandangan luar dari Kementerian lain terhadap JKR sebagai agensi teknikal Kerajaan. Dalam menangani persepsi, sesebuah Jabatan perlu bersedia menangani perkara yang tidak tepat dengan cepat dan cekap kerana ia lebih senang menular di dalam media sosial. JKR perlu menukar persepsi tersebut dengan memberi penerangan keadaan sebenar dan berintegriti. Rekod dan bukti perlu disimpan rapi kerana ia amat membantu dalam menangani persepsi negatif tersebut.

Sesi terakhir pada sebelah petang diteruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh Ir. Dr. Hannerita binti Mohd Zainal dari Bahagian Audit dan Integriti, Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat, JKR dengan tajuk “Kes-Kes Jabatan Audit Negara yang Melibatkan Tindakan Tatatertib : Jerangkap Samar”. Beliau banyak menekankan berkaitan teguran berulang yang telah dikeluarkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2010 – 2015.

HARI KETIGA – 19 SEPTEMBER 2017 (SELASA)

Program hari ketiga dan penutup Mesyuarat Jurutera Awam dimulakan dengan sesi bergambar bersama Yang Berbahagia Dato’ Sri Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya (KPKR). Seterusnya, Yang Berbahagia Dato’ Sri KPKR berkesempatan melawat booth pameran yang disediakan di Perkarangan Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Johor.

Sesi townhall bersama Yang Berbahagia Dato’ Sri KPKR dan Ketua Disiplin Awam yang baru iaitu Yang Berusaha Ir. Hj. Zulakmal Bin Hj. Sufian dimulakan dengan pembentangan oleh tiga (3) orang wakil pegawai dari gred J41, J44 dan J48 berdasarkan hasil bengkel yang telah diadakan oleh Urusetia Disiplin Awam pada 28 hingga 29 Ogos 2017 di CREaTE.

Mesyuarat Jurutera Awam Tahun 2017 ini diakhiri dengan Ucapan Penutup oleh Yang Berbahagia Dato’ Sri Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya. Antara intipati ucapan Yang Berbahagia Dato’ Sri KPKR adalah ;

  1. Peserta mesyuarat - Majoritinya terdiri daripada jurutera awam gred 41 & 44 serta gred 48 yang baru dinaikkan pangkat bagi membolehkan bersama-sama menjana idea dalam usaha melahirkan jurutera awam generasi pelapis yang akan memimpin Jabatan pada masa akan datang.
  2. Cabaran Dalam Managing Perception - Penggunaan ICT yang meluas dalam sistem penyampaian Kerajaan memudahkan sesebuah organisasi seperti JKR membangunkan laman sesawang, blog, facebook, twitter dan lain-lain medium. Ini membolehkan penyebaran maklumat yang tepat dan pantas kepada masyarakat mengenai berita terkini serta fungsi-fungsi utama berkaitan Jabatan.
  3. Mempromosikan Kejayaan JKR - Mempromosikan kisah-kisah kejayaan (success stories) JKR dalam pelaksanaan projek infrastruktur di negara di media utama, media elektronik dan media sosial agar ianya dapat memberikan impak positif terhadap JKR.
  4. Jurutera Awam bersikap terbuka dengan pembaharuan dan sentiasa mencari idea baru serta inovatif demi untuk meningkatkan sistem penyampaian jabatan. Selain itu, pegawai juga perlu meningkatkan ciri-ciri kecemerlangan seperti kompetensi teknikal yang mantap, bijak berkomunikasi, berkeyakinan, berintegriti, rendah hati, tabah dan sahsiah yang baik.
  5. Kenapa Kita Perlu Berubah? – Jurutera Awam perlu berubah dan menguruskan perubahan tersebut dengan kaedah yang tersusun untuk mengatasi pelbagai persepsi negatif yang telah dilemparkan kepada Jabatan.
  6. Prinsip Kepantasan Bertindak – Perlu ada sikap “sense of urgency” di dalam menjalankan amanah yang diberikan selaras dengan Slogan CTI – Cepat, Tepat & Integriti seperti yang sering ditekankan oleh TS KSN.
  7. Integriti dan Akauntabiliti – Perlu bekerja dengan penuh amanah berlandaskan kepada tatacara yang telah ditetapkan oleh arahan pentadbiran dan pekeliling-pekeliling yang dikeluarkan supaya memberikan manfaat kepada rakyat yang sentiasa mengharapkan yang terbaik.
  8. Generasi Pelapis – Pelan penggantian yang tersusun dan jelas untuk mengambil alih tampuk kepimpinan jabatan.
  9. Kepimpinan Baru Disiplin Awam - Yang Berusaha Ir. Hj. Zulakmal bin Sufian, Pengarah Kanan Cawangan Jalan kerana telah dilantik sebagai Ketua Disiplin Awam yang baru.

Sila klik di sini untuk coretan bergambar sepanjang mesyuarat berlangsung.