Date: Isnin, Julai 24, 2017

Pameran 18th International Architecture, Interior Design & Building Exhibition 2017 (ARCHIDEX 2017), Malaysia telah berlangsung selama empat hari di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula pada 19 hingga 22 Julai 2017. Pameran tersebut dianjurkan oleh Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dengan kerjasama C.I.S Network Sdn. Bhd. sebuah syarikat pengurusan majlis (Event Management) dan merupakan pameran tahunan. Pameran tersebut juga telah menyaksikan lebih 550 pempamer dari 12 buah negara termasuk Malaysia, Singapura, United Kingdom, Jepun, Jerman dan Austria. Ia juga berjaya menghimpunkan arkitek, pereka hias dalaman, pemaju, perancang bandar, jurutera, juruukur bahan, ahli akademik, penuntut universiti dan penggiat-penggiat industri yang berkaitan di peringkat tempatan dan antarabangsa dengan menyediakan platform jaringan perniagaan dan pameran.

Acara perasmian diwakilkan kepada Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), YBrs. Sr. Ratna Binti Hj. Mahyuddin menggantikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Datuk Rosnah Binti Rashid Shirlin. Dalam teks ucapan tersebut beliau telah menyatakan bahawa pertumbuhan ekonomi negara banyak disokong oleh industri binaan menerusi pelbagai projek pembangunan yang produktif. Beliau juga menyatakan industri binaan memainkan peranan penting dalam membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara menerusi pelbagai projek mega yang berupaya menjana pendapatan negara.

Ucapan aluan pula telah disampaikan oleh YBrs. Ar.Ezumi Harzani Bin Ismail, Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM). Turut hadir ke majlis ini ialah YBhg. Ar. Dato’ Sri Dr. Amer Hamzah Bin Mohd Yunus, Presiden Lembaga Arkitek Malaysia (LAM).

Objektif penganjuran ARCHIDEX 2017 adalah seperti berikut:

(i) memberikan gambaran keseluruhan tentang kepentingan teknologi hijau bangunan dalam mereka bentuk bangunan/infrastruktur.

(ii) berkongsi dan bertukar idea mengenai isu-isu yang berkaitan industri pembinaan bersama penggiat-penggiat industri .

(iii) menyediakan rangkaian kerjasama di kalangan peserta seminar.

Seminar ARCHIDEX 2017 ini merupakan salah satu inisiatif Pertubuhan Arkitek Malaysia untuk mendapatkan komitmen dan sokongan daripada penggiat-penggiat industri pembinaan khususnya arkitek, pereka hias dalaman, pemaju, perancang bandar, jurutera, juruukur bahan dan ahli akademik untuk mengadaptasi elemen lestari dan teknologi hijau bangunan dalam mereka bentuk bangunan.