Date: Jumaat, Ogos 3, 2018

Program hari ke-2 Persada Minda JKR 2018 dimulakan dengan sesi perkongsian ilmu dengan topik yang sangat menarik iaitu “Tangan Yang Menghayun Buaian” yang telah disampaikan oleh YBrs. Pn. Hjh. Siti Nadzrah binti Sheh Omar iaitu seorang penulis buku yang bertajuk Membina Keluarga Profazz bersama dengan anak lelaki beliau iaitu Saudara Mohd Suhayl bin Salmi. Dalam perkongsian tersebut, beliau menceritakan bagaimana membesarkan kelima - lima anak lelaki beliau sehingga menjadi huffaz yang berjaya.

Pada jam 11.00 pagi, program bersambung dengan sesi bual bicara yang bertajuk “Keintelektualan Masyarakat Silam : Dari Kajian dan Manuskrip”. Antara barisan ahli panel yang dijemput adalah Tan Sri Mohd Yusof bin Hitam, Pengerusi Majlis Lembaga Peradaban Melayu, Dr.Hj. Wan Ali bin Wan Mamat, Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Sejarah Malaysia, dan En. Failzal Hilmie bin Yusof, Timbalan Pengarah Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia dan moderator jemputan adalah Pn. Samsul Khamariah binti Hamzah, Mantan Pustakawan JKR.

Seterusnya pada sebelah petang dan merupakan program terakhir sesi perkongsian ilmu dengan tajuk “Tips Mobilegrafi” telah disampaikan oleh En. Mohd Naim Firdaus bin Abdul Aziz iaitu seorang jurufoto lensa rencam Utusan Malaysia. Beliau telah berkongsi ilmu berkenaan tips dan teknik suntingan gambar menggunapakai telefon pintar. Keputusan pertandingan mobilegrafi dan pertandingan mengira bilangan buku juga diumumkan dihujung program.

Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung terutamanya Unit Enterprise Content and Knowledge Management (ECKM), CPAB dan Bahagian Komunikasi Korporat, CDPK dalam menjayakan program yang telah dianjurkan.