Date: Khamis, Januari 19, 2017
AMANAT YBHG DATO’ SRI Ir. Dr. ROSLAN MD TAHA DI MAJLIS PERJUMPAAN KETUA PENGARAH KERJA RAYA BERSAMA WARGA JKR, 19 JANUARI 2017 (KHAMIS), PERKARANGAN MENARA KERJA RAYA.
 
Majlis bermula sekitar jam 8.15 pagi dengan dihadiri oleh barisan utama iaitu YBhg Dato Ir. Dr. Haji Hasnul bin Mohamad Salleh (TKPKR Sektor Infra), YBhg Ar. Dato’ Sri Amer Hamzah bin Mohd Yunus (TKPKR Sektor Bangunan), Ybhg Dato Ir. Hj Mohd Fazli bin Osman (TKPKR Sektor Pakar) serta pengarah-pengarah kanan, cawangan & bahagian serta warga JKR yang lain. 
 
YBhg Ketua Pengarah Kerja Raya memulakan amanat beliau dengan memanjatkan kesyukuran kehadrat Yang Esa di atas nikmat yang diberikan tatkala baru menjengah tahun 2017. 2016 telah mencatatkan pelbagai pahit dan manis yang mendorong kepada perangkaan kerja yang lebih cemerlang pada tahun ini. Antara intipati ucapan beliau:
 
1. MUSIBAH BANJIR- 2017 disambut dengan kedatangan banjir yang melanda negeri-negeri pantai timur pada awal tahun ini dan telah melibatkan banyak laluan ditutup. Warga JKR di seluruh negara disaran agar haruslah sentiasa bersiap siaga di kala berhadapan situasi begini.
 
2. RMK 11- Mengemaskini status terkini Rancangan Malaysia ke-11, sehingga 31 Disember 2016, JKR telah membelanjakan sebanyak 94.08% daripada jumlah yang diperuntukkan. Sebanyak 925 projek fizikal yang telah dilaksanakan sehingga tarikh tersebut.
 
3. MENARA KERJA RAYA - Mengimbau kembali kepada kejayaan dan pengiktirafan yang telah digondol oleh Menara Kerja Raya sendiri menambah lagi kemanisan tahun 2016. Perasmian menara ini yang telah dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia pada 5 Disember 2016 telah melakar detik bersejarah bagi seluruh warga JKR. Baru-baru ini juga nama jabatan diserikan lagi dengan pengiktirafan sijil Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) oleh MAMPU. Semua ini mendorong kepada JKR sebagai agen perubahan negara dengan penggunaan teknologi yang kreatif dan inovatif.
 
4. PETUNJUK PRESTASI UTAMA (KPI) JABATAN – Tiga KPI utama pada tahun ini adalah: 
 
• sekurang-kurangnya 50% projek siap mestilah disiapkan secara 3 dalam 1. (Melibatkan Sijil Perakuan Siap Kerja, Lukisan Siap Terbina (as-built drawing) dan juga Sijil Perakuan Muktamad (Statement of Final Account) kepada pelanggan.
 
• tempoh bayaran kemajuan sama ada bayaran tuntutan elaun, kemudahan dan bayaran kepada Pegawai Pengurusan dan Profesional, Kumpulan Sokongan dan juga tuntutan bayaran kontraktor, pembekal dan sebagainya hendaklah di dalam tempoh 7 hari. 
 
• Bilangan projek yang mempunyai EOT tidak melebihi 30%
 
5. PRE-APPROVED PLAN (PAP) DAN INDUSRIALISED BUILDING SYSTEM (IBS)- KPKR juga memaklumkan bahawa semua agensi kerajaan hendaklah menggunakan Pre-Approved Plan bagi 17 kategori bangunan sepertimana yang telah diarahkan oleh KSU Perbendaharaan. Begitu juga dengan penggunaan Industrialised Building System IBS sepertimana dinyatakan dalam 1Pekeliling Perbendaharaan (1PP). JKR juga telah melaksanakan Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi projek sekolah da’if). Dalam skop pembinaan, penggunaan bahan binaan mesra alam juga perlu dipergiatkan. Bagi melibatkan keselamatan di jalan raya, pemasangan ‘road roller barrier’ juga wajar digunapakai jika tempoh percubaan menunjukkan hasil yang baik.
 
6. LIBATURUS DENGAN (PELANGGAN) STAKEHOLDERS- Warga JKR perlu ‘proaktif’ dan ‘extrovert’ dalam mewar-warkan aktiviti jabatan di mana-mana landasan media sosial. Program dan aktiviti sosial sesamA warga juga perlu diterapkan bagi menjamin hubungan kerjasama yang baik. Jangan dikeruhkan dengan perkara yang tidak diingini yang juga membuka pekung di dada. Bagi meningkatkan tahap kompetensi antara warga JKR, adalah digalakkan untuk mengambil peluang untuk melanjutkan lagi pelajaran ke arah yang lebih tinggi. Ini menjadikan nilai tambah yang baik kepada kemantapan ilmu masing- masing seterusnya mendorong lagi kepada pensijilan kekompetenan seperti Ar. , Ir. dan Sr. Di samping itu juga, kajian Employee Satisfaction Index (ESI) diadakan bagi mengkaji faktor kepuasan kakitangan JKR. Maklumat yang diperolehi akan digunapakai dalam melaksanakan penambahbaikan pada masa hadappan. 
 
Di akhir amanat KPKR, beliau meletakkan harapan agar seluruh warga JKR bekerja sebagai satu pasukan demi kecemerlangan jabatan di masa akan datang.
 
Majlis bersurai sekitar 9.30 pagi.