Date: Jumaat, September 25, 2020

Pewujudan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam JKR (AKRAB JKR) adalah selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bil.18 Tahun 2005 yang bertujuan untuk menjadi agen penggerak kepada pelaksanaan budaya kerja cemerlang di dalam perkhidmatan awam dengan keahlian seramai 162 orang dari seluruh JKR. Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam dengan singkatan nama AKRAB membawa maksud AMANAH, KOMITMEN, RASIONAL, AKHLAK DAN BESTARI.

Sempena  Sambutan Hari Psikologi Kementerian Kerja Raya bagi Tahun 2020 yang bertemakan "Psikologi Ketahanan Diri Dalam Menghadapi Pandemik COVID-19" pada 22 September 2020 (Selasa) yang dianjurkan oleh Cawangan Pengurusan Psikologi (CPPs), Bahagian Pengurusan Sumber Manusia, Kementerian Kerja Raya (KKR); Puan Hajah Sarimah binti Ahmad dari Cawangan Perancangan Aset Bersepadu  telah dipilih untuk menerima Anugerah AKRAB UNGGUL 2020.

Penyerahan sijil telah disempurnakan oleh YB Dato' Sri Hj. Fadillah Bin Haji Yusof Menteri Kanan Kerja Raya, Kementerian Kerja Raya dengan disaksikan oleh YBhg. Dato' Dr. Syed Omar Sharifuddin Bin Syed Ikhsan Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya,

Semoga dengan pengiktirafan ini akan menjadikan beliau selaku Pengerusi AKRAB JKR Sesi 2019-2020 sebagai cerminan kepada komitmen didalam mewujudkan modal insan yang cemerlang dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua warga kerja JKR. Semoga AKRAB terus unggul di bawah kepimpinan beliau.