Date: Isnin, Ogos 14, 2023

Menara Kerja Raya (Blok G) sebagai Ibu Pejabat JKR Malaysia telah menyertai Anugerah Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) untuk kategori Perkhidmatan Awam dan Badan Berkanun. Anugerah ini terbahagi kepada 2 peringkat, iaitu penilaian peringkat pertama yang dinilai oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah pada 30 Mac 2023 yang lalu manakala penilaian peringkat kedua (akhir) telah dinilai hari ini oleh Ibu Pejabat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di Putrajaya.

 

Sukacitanya dimaklumkan Menara Kerja Raya (Blok G) Ibu Pejabat JKR Malaysia telah dipilih dalam senarai akhir bagi pencalonan yang terbaik bagi Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara pada tahun ini. Juruaudit dari Ibu Pejabat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di Putrajaya terdiri daripada Puan Noria Binti Mohamad Ali selaku Ketua Juruaudit yang dibantu oleh Juruaudit Puan Wan Nur Khafizah Binti Wan Abdullah telah hadir ke Menara Kerja Raya (Blok G) pada 10 Ogos 2023 untuk melaksanakan penilaian audit anugerah peringkat akhir ini.  

 

Audit dilaksanakan melalui pemeriksaan dokumentasi, tempat kerja serta sesi temu bual bersama wakil majikan mahupun wakil pekerja. Lebih membanggakan kita, pihak juruaudit juga telah menemubual secara langsung kepada Ketua Pengarah Kerja Raya yakni YBhg. Datuk Ir. Hj. Ahmad Redza Bin Ghulam Rasool bagi membuktikan penglibatan pengurusan tertinggi JKR memainkan peranan yang dominan dalam memastikan semua warga kerja sentiasa membudayakan amalan KKP di tempat kerja pada setiap masa.

 

Sesi penutup yang dipengerusikan oleh YBhg Ir. Ts. Dato’ Hj. Masri bin Baharuddin bersama para auditor dan auditee telah memberikan satu inspirasi kepada warga JKR untuk menjadikan persekitaran tempat kerja yang kondusif, selamat dan sihat sesuai dengan konsep kemampanan Malaysia Madani hari ini. Semoga JKR Malaysia dinobatkan Jabatan yang Terbaik dalam negara bagi merealisasikan amalan KKP ini.