Tanggal 13 Mei 2024 telah bermulanya Audit Pemantauan (Surveillance Audit) oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd. bagi tahun 2024 yang dilaksanakan di JKR Malaysia dan melibatkan keempat-empat sistem ISO berikut:
- Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) ISO 9001:2015
- Sistem Pengurusan Alam Sekitar (SPAS) ISO 14001:2015
- Sistem Pengurusan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (SPKKP) ISO 45001:2018
- Sistem Pengurusan Tenaga (SPT) ISO 50001:2018
Seperti yang sedia maklum bahawa JKR Malaysia telah mendapat pensijilan semula ISO oleh SIRIM QAS Sdn. Bhd. pada tahun 2023. Oleh itu, Audit Pemantauan (Surveillance Audit) oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd. ini perlu dibuat bagi meneruskan pensijilan ISO untuk JKR Malaysia pada tahun 2024 ini.
Audit Pemantauan (Surveillance Audit) ini telah bermula pada 13 – 17 Mei 2024. Mesyuarat Pembukaan Audit Pemantauan (Surveillance Audit) Sistem Pengurusan Bersepadu (SPB) JKR Malaysia oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd. yang dipengerusikan oleh Pengarah Kanan Cawangan Kerja Mekanikal YBrs. Ir. Zulkifli B Abdul Rashad yang menjalankan tugas Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar) pada ketika itu telah berlangsung dengan jayanya pada hari isnin bersamaan 13 Mei 2024 jam 9.00 pagi di Bilik Mesyuarat Berlian, Menara Ibu Pejabat JKR.
Mesyuarat Penutup Audit Pemantauan (Surveillance Audit) Sistem Pengurusan Bersepadu (SPB) JKR Malaysia telah diadakan pada Jumaat 17 Mei 2024, jam 3.30 petang di Bilik Mesyuarat Berlian, Menara Ibu Pejabat JKR. Mesyuarat penutup ini telah dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan) YBhg. Dato’ Ir. Haji Badioezaman bin Ab Khalik selaku yang diamanahkan menjalankan tugas Ketua Pengarah Kerja Raya ketika ini.
Secara keseluruhannya JKR Malaysia telah dapat mengekalkan pencapaian sangat cemerlang dengan keputusan tiada NCR direkodkan bagi Audit Pemantauan (Surveillance Audit) Tahun 2024 ini sekaligus ia merupakan tahun ketiga berturut-turut tiada NCR ditemui pada kali ini. Namun begitu, terdapat 25 OFI ditemui bagi kesemua sistem untuk peluang penambahbaikan. Walaubagaimanapun, jumlah OFI pada tahun ini adalah menurun berbanding Tahun 2023 dan ia merupakan satu petanda positif bagi JKR Malaysia supaya dijadikan penanda aras mahupun contoh amalan yang baik untuk diikuti bagi Jabatan-Jabatan Kerajaan lain khususnya dalam bidang teknikal di Malaysia ini.
Terima kasih atas komitmen yang diberikan oleh semua warga kerja JKR sama ada di Cawangan, Negeri mahupun Pasukan Projek atas pencapaian ini. JKR Malaysia telah disyorkan oleh pihak SIRIM untuk meneruskan pensijilan bagi keempat-empat sistem ISO. Syabas dan tahniah untuk semua dan teruskan kecemerlangan ini di masa akan datang.
- 2244 bacaan