Date: Rabu, September 21, 2022

Selaras dengan pelaksanaan Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM) 2022-2030, satu bengkel kolaborasi antara Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah berlangsung dengan jayanya pada 8 – 9 September 2022 di Genting Highlands, Pahang. Bengkel Kolaborasi Strategik MIROS - (JKR) ini telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah MIROS, YBhg. Dato’ Dr. Khairil Anwar bin Abu Kassim dan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), YBhg. Dato’ Ir. Ahmad Redza bin Ghulam Rasool.  Seramai 24 peserta dari JKR, MIROS dan juga KKR selaku pihak yang turut terlibat dengan PKJRM (2022-2030) telah hadir dalam menjayakan bengkel kolaborasi strategik ini.

Kolaborasi strategik ini secara dasarnya membincangkan isu-isu berkaitan keselamatan jalan raya bagi menghasilkan input yang memberi impak tinggi terhadap sasaran Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (2022-2030) yang merangkumi skop-skop seperti berikut:

 

  1. Penyelidikan dan pembangunan fasiliti keredaan trafik untuk hirarki jalan yang tinggi, kawasan pembinaan (work zone) dan di lorong motosikal;
  2. Pembangunan dokumen teknikal bagi fasiliti keredaan trafik dan pedestrian motorcycle bridge; dan
  3. Pelaksanaan bengkel, latihan dan seminar bagi membincangkan isu pelaksanaan International Road Assessment Programme (iRAP), Road Safety Inspection (RSI) dan penyelarasan kes-kes kemalangan berprofil tinggi di Malaysia.

Dengan adanya program yang berstruktur dan komprehensif seperti ini, adalah diharapkan dapat memberi impak positif terhadap sasaran PKJRM 2022-2030 dengan inisiatif-inisiatif yang telah dihasilkan dalam memastikan keselamatan jalan dan fasiliti yang disediakan sentiasa pada tahap terbaik.