Date: Isnin, Oktober 7, 2024

Pelan Strategik Jabatan Kerja Raya 2021-2025 merupakan dokumen utama dalam menzahirkan hala tuju Jabatan dalam penyampaian perkhidmatan sepanjang lima (5) tahun sejak penerbitannya. Dokumen ini bertunjangkan visi, misi dan objektif jabatan yang berteraskan lima (5) tema utama dan perlu diaplikasikan oleh setiap Cawangan/ JKR Negeri/ Wilayah Persekutuan/ Pasukan Projek Khas sekaligus menyumbang kepada penyampaian perkhidmatan yang terbaik berteraskan kecemerlangan dan keberhasilan.

Sebelum Pelan Strategik JKR 2021-2025 melabuhkan tirainya, satu Bengkel Penetapan Inisiatif Pelan Strategik JKR 2026-2030 telah diadakan di Raia Hotel and Convention Center Terengganu pada 30 September 2024 hingga 2 Oktober 2024.

Bengkel yang berlangsung selama tiga (3) hari ini dianjurkan oleh Bahagian Pengurusan Perubahan dan Prestasi (BPPP), Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat selaku Sekretariat Pelan Strategik JKR. Bengkel ini dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra), Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), Pengarah Kanan/ Pengarah Cawangan/ JKR Negeri/ Pasukan Projek Khas dan wakil daripada setiap tema yang merupakan golongan pemikir dan pakar dalam merangka hala tuju Pelan Strategik JKR 2026-2030. Bengkel ini disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh YBhg. Ir. Mohd Shahrom bin Ahmad Saman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Infra) selaku Penaja Pelan Strategik JKR.

Tujuan utama bengkel ini adalah untuk merangka perancangan strategik jabatan dengan menetapkan hala tuju, mengenal pasti isu-isu operasi strategik di setiap peringkat  serta merangka strategi-strategi baharu ke arah merealisasikan visi, misi dan objektif jabatan yang telah ditetapkan bagi tempoh lima (5) tahun dan seterusnya bagi memperkasakan Pelan Strategik JKR agar jabatan kekal relevan sebagai Agensi Teknikal Utama Negara.

Setinggi-tinggi ucapan tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua peserta yang sentiasa komited dalam menjana pemikiran inovatif dan menyumbang kepakaran dalam membantu penghasilan draf Pelan Strategik JKR 2026-2030 yang mantap dan komprehensif. Semoga Pelan Strategik JKR 2026-2030 dapat dilancarkan pada tahun 2025 sebagaimana garis masa yang ditetapkan.