Date: Jumaat, Julai 26, 2019

Bengkel Road Safety Officer bagi tahun 2019 telah berlangsung dengan jayanya pada 25 - 26 Julai 2019 bertempat di Dewan CREaTE, Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan & Teknologi JKR, Alor Gajah (CREaTE), Melaka. Program yang berlangsung selama dua (2) hari ini telah dirasmikan oleh YBhg. Dato' Ir. Hj. Che Noor Azeman bin Yusoff, Pengarah Pakar Kejuruteraan Jalan & Jambatan, Cawangan Jalan dan turut dihadiri oleh pegawai-pegawai Subject Matter Expert (SME) JKR Malaysia.

Penganjuran julung-julung kali ini merupakan penganjuran bersama oleh pihak CREaTE. Program ini yang telah dihadiri oleh 147 orang peserta yang terdiri daripada warga Teknikal JKR meliputi Ibu Pejabat, Negeri, Wilayah dan Daerah. Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan aluan oleh YBhg. Dato' Ir. Hj. Che Noor Azeman bin Yusoff dan seterusnya merasmikan Bengkel Road Safety Officer bagi tahun 2019.

Bengkel Road Safety Officer kali ini dimeriahkan lagi dengan pembukaan gimik perasmian menggunakan alatan muzik tradisional dan seterusnya disusuli dengan sesi bergambar. Majlis diteruskan dengan pembentangan oleh YBrs. Ir. Mohd Shahrom b. Ahmad Saman (Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancang Jalan, Kementerian Kerja Raya) yang bertajuk Pengurusan Keselamatan Jalan. Antara maklumat yang disampaikan adalah sejarah dan pengenalan kepada keselamatan jalan, strategi untuk mengurus keselamatan jalan dan matlamat keselamatan jalan di bawah JKR Malaysia.

Majlis diteruskan dengan sesi pembentangan oleh Ir. Abdul Rahman bin Baharudin (Pengarah Kejuruteraan Pakar Keselamatan Jalan & Forensik Jalan, Cawangan Jalan) mengenai Road Safety Officer (RSO). Antara maklumat yang disampaikan adalah berhubung Pelan Keselamatan Jalan tahun 2014-2020, Pendekatan Sistem Keselamatan Jalan dan Pengurusan Keselamatan Jalan.

Sesi sebelah petang diteruskan dengan pembentangan oleh Ir. Noor Azlina binti Ambak (Jurutera Awam Kanan, Kejuruteraan Pakar Keselamatan Jalan & Forensik Jalan, Cawangan Jalan) yang bertajuk Road Safety Inspection (RSI). Antara maklumat yang disampaikan adalah berhubung prosedur menjalankan RSI bersama jenis ujian-ujian di tapak, penyediaan laporan RSI serta kaedah penambahbaikkan yang boleh dicadangkan berdasarkan garis panduan PIARC. 

Hari kedua dimulakan dengan pembentangan oleh Ir. Siti Nurilam binti Abu Mansor (Jurutera Awam Penguasa, Bahagian Audit & Program Keselamatan Jalan, Cawangan Jalan) yang berkaitan dengan Analisa Waran Lampu Isyarat, Analisa Waran Lampu Jalan dan Analisa Waran Jejantas Pejalan Kaki. Sesi ini lebih tertumpu hands on kepada peserta bengkel untuk menggunakan analisis waran bagi membolehkan diguna oleh JKR di daerah dan negeri.

Sebelum berakhirnya bengkel ini, pembentangan oleh Ir. Noor Azlina binti Ambak (Jurutera Awam Kanan, Kejuruteraan Pakar Keselamatan Jalan & Forensik Jalan) berkenaan Sistem Maklumat Kemalangan (SisMaK) yang dapat membantu  untuk melaksanakan Analisa Waran Lampu Jalan, Lampu Isyarat dan Lintasan Pejalan Kaki.