Date: Khamis, Jun 11, 2020

Sesi Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Bagi Projek Central Spine Road, Central Spine Road Pakej 4 : Kg. Relong Ke Raub, Pahang Seksyen 4C: Sega Lama Ke Kuala Dong dan Seksyen 4D : Kuala Dong Ke Kg. Tanah Bercangkul telah berlangsung pada hari Rabu, 10 Jun   2020 di Bilik Berlian, Menara Kerja Raya (Blok G), Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, Kuala Lumpur.

Sesi penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh YBrs. Ir. Haji Zulakmal bin Haji Sufian, Timbalan Pengarah Kerja Raya (Infra),  yang menjalankan tugas Ketua Pengarah Kerja Raya kepada kontraktor yang berjaya iaitu Pertama Makmur Sdn. Bhd. bagi projek Seksyen 4C: Sega Lama Ke Kuala Dong dan  D’ntan Trade Sdn. Bhd. bagi projek Seksyen 4D : Kuala Dong Ke Kg. Tanah Bercangkul. Projek dengan panjang jajaran sepanjang 5.8 kilometer bagi Seksyen 4C dan 13.6 kilometer bagi Seksyen 4D ini merupakan sebahagian fasa pembinaan Pakej 4 yang menghubungkan fasa pembinaan Pakej 3: Gua Musang Ke Kg. Relong dan  Pakej 5 dari Raub ke Bentong.

HOPT bagi projek ini adalah Bahagian Pengurusan Projek ECER, Cawangan Jalan manakala Pengurus Besar Kanan Pembinaan, En. Ab Rahim Bin Mohd@Mokhtar, Jurutera Awam Penguasa Kanan dari Unit Projek  Khas ECER 2, Cawangan Jalan dilantik sebagai Pegawai Penguasa bagi kedua-dua projek ini. Tempoh siap bagi kedua-dua projek ini adalah selama 156 minggu dengan tarikh milik tapak pada 29 Jun 2020 dan tarikh siap pada 26 Jun  2023.

JKR selaku agensi pelaksana kerajaan memikul amanah rakyat untuk memastikan serta memenuhi aspirasi kerajaan agar projek ini dapat disiapkan dengan sempurna, berkualiti & tepat pada masa sepertimana yang telah dijanjikan.

.

Bhagian Pengurusan Projek ECER

Cawangan Jalan