Date: Jumaat, Mei 12, 2017

Satu persidangan kebangsaan untuk membincangkan tentang arah tuju kecekapan tenaga di dalam bangunan di Malaysia, telah dianjurkan oleh Building Sector Energy Efficiency Project (BSEEP) pada 11 Mei 2017 bertempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. BSEEP merupakan satu projek nasional di bawah seliaan Cawangan Alam Sekitar dan Kecekapan Tenaga (CASKT) Jabatan Kerja Raya, Malaysia dan Program Pembangunan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP). Projek ini telah mensasarkan untuk mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau tahunan di dalam sektor bangunan di Malaysia. Selain daripada itu, persidangan yang diberi nama BSEEP National Conference yang membawa tema Towards Near Zero-Energy Building ini dijadikan medium untuk BSEEP membentangkan kejayaan mereka mempromosikan kecekapan tenaga di dalam bangunan dan hasil penyelidikan yang diperolehi untuk kegunaan kerajaan Malaysia khususnya di dalam sektor tenaga.

Persidangan yang dihadiri oleh lebih 400 orang dari agensi kerajaan dan swasta ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof. YB Menteri sangat berbangga dengan pecapaian JKR di bawah pimpinan, Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha dalam menyokong misi kerajaan untuk mengurangkan 45% daripada pelepasan karbon yang menyebabkan perubahan iklim dunia. Sebelum persidangan bermula, YB Menteri dan YBhg. KPKR sempat melawat pameran yang diadakan di luar dewan persidangan, disertai oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta yang telah bekerjasama dengan BSEEP sejak 7 tahun lalu.

Antara topik perbentangan utama pada persidangan tersebut adalah ‘JKR Green Plan Sustainable Buildings’ oleh Pengarah Cawangan Alam Sekitar dan Kecekapan Tenaga – YBrs. Ir. Gopal Narian Kutty, United Nations Sustainable Development Goals (SDG) oleh Assistant Resident Representative, UNDP – Encik Asfaazam Kasbani dan Carbon Reduction From BSEEP oleh Pengurus Projek BSEEP – Encik Ahmad Zairin Ismail.

Salah satu kejayaan besar bagi BSEEP adalah pelaksanaan Energy Performance Contracting (EPC) Fund yang diluluskan baru-baru ini oleh Perdana Menteri Malaysia,YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak. BSEEP telah mencadangkan pelaksanaan EPC Fund dan telah menyumbangkan sebanyak RM2 juta dari dana UNDP manakala pihak kerajaan pula telah memperuntukkan sebanyak RM 10 juta. Dengan peruntukkan ini, dijangka dana sebanyak RM 200 juta akan disediakan oleh Kerajaan Malaysia sebagai pinjaman kepada syarikat perkhidmatan tenaga (ESCOs) untuk program kecekapan tenaga di dalam bangunan, di bawah kontrak prestasi tenaga.

Selain daripada BSEEP, JKR sudah menyokong program kecekapan tenaga di dalam bangunan kerajaan sejak tahun 2008 lagi. JKR telah menyediakan Kerangka Strategik 2016-2020 di bawah Polisi Pembangunan Lestari JKR yang dilaksanakan untuk menyokong komitmen kerajaan bagi mengurangkan 45% pelepasan karbon pada tahun 2030. JKR juga akan bertanggungjawab untuk memastikan kesemua projek yang dilaksanakan oleh jabatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) akan direkabentuk dengan ciri-ciri kecekapan tenaga dan lestari serta akan melaksanakan Skim Penarafan Bangunan Hijau melalui pensijilan Penarafan Hijau JKR (pH JKR) dan Malaysian Carbon Reduction and Environmental Sustainability Tool (MyCREST).

BSEEP juga banyak menganjurkan program penyelidikan bersama dengan rakan kolaborasi di luar negara untuk membawa teknologi terkini di dalam kecekapan tenaga di dalam bangunan ke Malaysia. Satu satu daripadanya adalah perisian ‘Energy Management Information System’ yang dibawa masuk dari Croatia dan bakal digunakan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia untuk memantau penggunaan tenaga di dalam bangunan yang terpilih di Malaysia.

Sepanjang 5 tahun beroperasi, BSEEP turut menganjurkan lebih kurang 82 latihan dan seminar untuk lebih daripada 1100 tenaga mahir di dalam sektor tenaga dan turut menerbitkan 5 buku hasil daripada kompilasi penyelidikan yang boleh dimuat turun secara percuma di laman sesawang www.bseep.gov.my.

BSEEP sangat aktif mempromosikan kecekapan tenaga di dalam bangunan kepada rakyat Malaysia di dalam beberapa kempen kesedaran termasuk larian marathon #RUN4EE di Putrajaya Night Run, aktiviti penampalan poster dan pertandingan swafoto bersama AEON, menjadi penganjur bersama untuk KL Eco Film Fest 2016 dan pertandingan mereka kemeja-t yang diinspirasikan oleh kecekapan tenaga di dalam bangunan bersama dengan FashionValet.com. Baru-baru ini, BSEEP dan FashionValet turut bekerjasama sekali lagi untuk menerbitkan video kesedaran awam yang melibatkan artis terkemuka tanah air termasuk Neelofa, Siti Saleha, Liyana Jasmay dan Diana Danielle.