Date: Khamis, April 8, 2021

Mesyuarat Dwi Tahunan AKRAB JKR telah diadakan pada 7 April 2021(Rabu). Mesyuarat ini dipengerusikan bersama oleh YBhg. Dato’ Ir. Haji Masri bin Baharuddin, Pengarah Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) dan Pn Sarimah Ahmad selaku Pengerusi Akrab JKR.  Pelbagai program AKRAB JKR yang diadakan sepanjang tahun 2020 telah dibentangkan. Walaupun dengan kekangan langkah kawalan pergerakan oleh Kerajaan, AKRAB JKR telah berjaya melaksanakan 1 Program Outreach, 3 kursus berkaitan Pembangunan Modal Insan dan mesyuarat AKRAB bagi merancang pelaksanaan program.        

Mesyuarat turut membincangkan perancangan program bagi tahun 2021. YBhg Dato’ Pengarah CDPK mengambil maklum mengenai peranan penting AKRAB sebagai langkah pencegahan awal kepada pegawai yang memerlukan sokongan dan bimbingan dari rakan sekerja. Sehubungan dengan itu, YBhg Dato’ Pengarah CDPK juga menyatakan adalah amat penting agar perancangan setiap program dan aktiviti AKRAB dapat dilaksanakan secara strategik bagi memastikan ianya memberi manfaat kepada produktiviti jabatan. 

Kursus Pemantapan AKRAB JKR juga telah diadakan pada hari kedua mesyuarat bertujuan untuk memperkukuhkan kemahiran bimbingan kepada ahli AKRAB JKR. Sesi dimulakan dengan program Ice Breaking oleh Setiausaha dan slot motivasi dari Pengerusi AKRAB.  Peserta turut mempelajari ilmu grafologi iaitu cara menganalisis watak melalui tanda tangan. Ahli AKRAB diajar untuk mengenali personaliti dan karakter seseorang menerusi tanda tangan mereka.  Ilmu ini sangat berguna bukan sahaja untuk menilai klien, akan tetapi juga untuk kegunaan harian.

Semoga program dan aktiviti yang akan dilaksanakan oleh AKRAB JKR akan dapat membantu ke arah kecemerlangan JKR.