Date: Jumaat, Ogos 27, 2021

YBhg. Dato’ Ir. Hj. Mohamad Zulkefly b. Sulaiman, Ketua Pengarah Kerja Malaysia (KPKR), diiringi oleh Pengurusan Tertinggi Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia telah menyempurnakan Majlis Flag Off Sumbangan Kilat Bencana Yan #JKRPRIHATIN pada hari ini. Pelbagai barangan keperluan asas akan diagihkan kepada kakitangan JKR Daerah Yan dan penduduk yang terjejas oleh para petugas bantuan Misi Bencana Yan JKR Malaysia.

Sumbangan barangan ini adalah bagi membantu meringankan bebanan kakitangan JKR Daerah Yan dan penduduk sekitar yang kehilangan harta benda akibat tragedi kepala air yang berlaku baru-baru ini. 

Hasil kerjasama maklumat bersepadu antara JKR Malaysia dan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Yan, sumbangan yang amat diperlukan adalah berbentuk barangan keperluan   seperti dapur masak, periuk nasi, blender, kipas angin, tilam, bantal, tikar dan lain-lain keperluan rumah. 

Sumbangan ini adalah hasil daripada pelancaran program kutipan ‘Sumbangan Kilat Bencana Yan #JKRPrihatin’ bermula pada 23 -25 Ogos 2021.  

Ibarat perumpamaan melayu “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, begitulah sikap keprihatinan ditunjukkan oleh warga kerja JKR Malaysia yang sama-sama mengumpul dana dan menyumbang kepada misi bantuan ini. 
Setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada semua penyumbang budiman samada yang membantu dari segi curahan tenaga, masa dan wang ringgit dalam menjayakan misi bantuan ini. Semoga Allah SWT membalas setiap kebaikan yang dihulurkan. 

Firman ALLAH SWT:

“Sesungguhnya ALLAH SWT berserta dengan orang-orang yang bertaqwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan”.
(Surah An-Nahl: 128)