Date: Isnin, Oktober 2, 2017

Hari Inovasi JKR Malaysia 2017 yang bertemakan “Innovation; Catalyst for Sustainability” telah dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya pada 2 Oktober 2017(Isnin), bertempat di Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan Dan Teknologi JKR Malaysia (CREaTE). Turut hadir sama pada majlis perasmian ini ialah YBhg. Dato’ Sri Zohari Bin Haji Akob, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, YBhg. Dato’ Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha, Ketua Pengarah Kerja Raya, pegawai – pegawai kanan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya serta warga kerja Jabatan Kerja Raya.

Majlis dimulakan dengan ucapan pembuka oleh Pengarah JKR Negeri Melaka, YBrs. Tuan Ir. Zulkifly bin A. Ghani selaku tuan rumah, disusuli ucapan aluan oleh Ketua Pengarah Kerja Raya, YBhg. Dato' Sri Ir. Dr. Roslan bin Md Taha. Acara kemuncak ialah ucapan perasmian oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof. Antara amanat yang disampaikan oleh YB Dato’ Sri Menteri Kerja Raya adalah untuk berdepan dengan apa jua cabaran, domestik mahu pun global, bagi memastikan usaha-usaha yang dilaksanakan mencapai kejayaan, maka warga kerja JKR perlu bersiap siaga meneroka ilmu pengetahuan dan kepakaran serta melakukan anjakan minda. Selain itu, YB Dato’ Sri Menteri Kerja Raya mengharapkan warga kerja JKR terus memperkasakan usaha mereka cipta produk – produk baru lagi inovatif dan mengeluarkan idea yang kreatif bagi meningkatkan prestasi dan kualiti penyampaian perkhidmatan seiring dengan tema Hari Inovasi JKR tahun 2017 iaitu “Innovation; Catalyst for Sustainability”.

Majlis diteruskan dengan Perasmian Pameran Inovasi yang disertai oleh lapan (8) kumpulan seperti berikut;

  1. BA + WA Arkib Bangunan Warisan – Cawangan Arkitek
  2. Pemantul Cahaya Waktu Malam – JKR Daerah Melaka Tengah, Melaka
  3. Sistem Maklumat Kontraktor – JKR Daerah Rompin, Pahang
  4. Sistem Memadam Garisan Jalan – JKR Daerah Rompin, Pahang
  5. Tempat Menyimpan Mesin Pemampat – JKR Daerah Bachok, Kelantan
  6. Sistem SMART THUMB – Sistem Pendaftaran dan Pengesahan Cap Jari Kontraktor – JKR Daerah Machang, Kelantan
  7. Sound Gloxit – Papan Tanda Keluar Glow In The Dark With Sound – JKR Wilayah Persekutuan Putrajaya
  8. I.E. MECH – Intelligent Equipment Mechanical – Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, JKR Negeri Selangor

Selain daripada Pameran Inovasi, terdapat juga Pameran Industri yang diadakan di ruang galeri CREaTE.

Program diteruskan dengan persembahan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang mana dibahagikan kepada dua (2) kategori iaitu Kategori Teknikal dan Pengurusan. Bagi kategori teknikal, sebanyak tujuh (7) penyertaan manakala kategori pengurusan pula sebanyak empat (4) penyertaan. Program ditangguhkan pada jam 4.00 petang dan akan bersambung esok.