Date: Rabu, September 28, 2016

Program Persada Minda@JKR 2016 dengan tema "Komunikasi Jendela Ilmu" telah berlangsung dengan jayanya bermula 28 September 2016 hingga  29 September 2016. Program ini telah dirasmikan oleh YBhg Dato' Ir. Hj. Mohd Fazli bin Osman, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (TKPKR) (Sektor Pakar) JKR Malaysia.

Penganjuran program ini adalah hasil kerjasama antara Cawangan Dasar dan Pengurusan Korporat (CDPK) yang diterajui oleh Bahagian Komunikasi Korporat dengan Cawangan Perancangan Aset Bersepadu (CPAB).Program ini merupakan salah satu program tahunan yang bermatlamat memperkasakan warga JKR dengan informasi dan juga pengetahuan di dalam mengharungi cabaran teknologi serta komunikasi tanpa sempadan. Program ini telah berjaya menarik seramai 600 peserta yang terdiri dari kalangan warga JKR dari ibu pejabat dan juga JKR Negeri.

Majlis dimulakan dengan Ucapan Aluan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan Pembudayaan Ilmu, YBhg. Ir. Mohd Daud bin Harun dan seterusnya Ucapan Perasmian Persada Minda @JKR tahun 2016 oleh Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Pakar), YBhg Dato' Ir. Hj. Mohd Fazli bin Osman.Beliau juga sempat meluangkan masa untuk melawat ke ruang pameran yang disediakan diantara yang terlibat adalah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia, Telekom Malaysia Berhad, Pos Malaysia Berhad, Cerdik Publication Sdn Bhd, Alumni UTM, Celcom Mobile sdn Bhd dan Kromosom Lab Sdn Bhd. YBhg Dato' TKPKR juga turut menyampaikan Sijil Penghargaan kepada 3 orang Pengguna JCop Yang Paling Aktif, Anugerah Khas JPedia Tahun 2016 dan juga Peminjam Bahan Bacaan Terbanyak Tahun 2016.

Majlis diteruskan dengan Program Perkongsian Ilmu yang bertajuk "1govuc" oleh En.Firdaus bin Mat Nayan daripada TM Sdn Bhd dan juga diikuti dengan ceramah "Jejak-Jejak Kembara" yang telah disampaikan oleh Puan Nisah bt Haron. Majlis berhenti rehat pada jam 1.00 tengah hari.

Majlis bersambung pada Sebelah petang dengan Program Perkongsian Ilmu yang bertajuk "Karenah Komunikasi" yang telah disampaikan oleh Encik Manjaya bin Mansor. Majlis pada hari pertama berakhir pada jam 4.30 petang dan bersambung esok.